Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kematian pekerja pembalakan diklasifikasikan sebagai mati mengejut


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





KAPIT, 3 Mei (Bernama) -- Polis Kapit mengklasifikasikan kes kematian seorang pekerja syarikat pembalakan yang dilaporkan hilang di hutan Ulu Sungai Melatai, Baleh, dekat sini sejak 30 April lalu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Stanislaus Bian memberitahu, siasatan awal mendapati mayat Kenek Antok, 46 ,ditemukan dalam keadaan tergantung, di tebing curam di kawasan dia dilaporkan hilang.

“Pemeriksaan pada tubuh simati, mendapati tiada kesan-kesan pergelutan atau luka. Sebab-sebab kematian akan diketahui esok hari,” katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor berkata, mayat mangsa telah ditemukan di lereng sebuah bukit oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 5 petang semalam, dalam keadaan lehernya terjerut pada akar kayu, di kawasan 700 meter radius mangsa dilaporkan hilang.

Mayat yang masih lagi dalam keadaan sempurna itu, kemudian dibawa ke kolam balak di Melatai dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda pada 5.45 petang, sebelum dibawa ke kem balak Nanga Gaat pada 12 tengah malam tadi.

Ia kemudian dibawa ke Kapit dengan menggunakan bot laju pada 6 pagi hari ini, sebelum tiba pada 8.30 pagi untuk diserahkan kepada pihak polis.

Dalam kejadian 30 April, mangsa bersama-sama sembilan lagi pekerja masuk ke hutan di kawasan Ulu Sungai Melatai, untuk melakukan kerja-kerja penandaan kayu pada 6 pagi dan kesemua pekerja kecuali mangsa kembali ke kem itu pada 12 tengah hari.

Apabila kehilangannya disedari, satu gerakan mencari dijalankan di kawasan hutan itu pada pukul 3 petang di mana sebuah beg dipercayai milik mangsa dan kesan darah telah ditemukan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel