Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah komited tarik pelabur, perkukuh Yayasan Sabah untuk perkasa sektor pendidikan


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri komited untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini selain akan terus berusaha memperkukuh pengurusan kewangan Yayasan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan Sabah mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk pembangunan sektor kesihatan dan pendidikan terutama menghantar lebih ramai anak jati Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam dan luar negara.

Mohd Shafie berkata sektor pendidikan berkualiti termasuk menyediakan infrastruktur dan prasarana lengkap adalah penting bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan jauh dalam arus pembangunan sektor itu kerana sumber manusia berkemahiran dan berpengetahuan tinggi adalah aset kemajuan negeri.

"Kerajaan Negeri memutuskan beberapa konsesi kayu balak termasuk perabot dan sumber silika bagi pelaburan industri gelas diserahkan kepada Yayasan Sabah untuk menguruskan hasil diperoleh daripada industri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-30 dan melancarkan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria.

Seramai 40 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2018 menerima tajaan biasiswa itu.

Mohd Shafie turut mengingatkan pengurusan pentadbiran Yayasan Sabah supaya menguruskan kewangan negeri dengan baik dan menerapkan integriti tinggi selain menghindarkan daripada terlibat dalam sebarang ketirisan mahupun rasuah.

Sementara itu, Mohd Shafie menasihatkan pelajar cemerlang Sabah menerima biasiswa itu supaya terus mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan menyumbang semula kepada negeri itu setelah menamatkan pengajian kelak.

Pelajar cemerlang Sabah itu juga diingatkan supaya menjadi pencipta pekerjaan kreatif dan berinovatif serta tidak hanya menunggu tawaran kerja daripada sektor swasta mahupun kerajaan, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel