Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 50 peratus nelayan Pulau Pinang sokong projek PSR


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Majoriti nelayan di negeri ini menyokong projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), namun mereka berharap Kerajaan Negeri mempertimbangkan pampasan berikutan terjejas dengan projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata sokongan itu diperoleh menerusi penyertaan awam yang dijalankan oleh konsultan dilantik lebih dua tahun lepas.

"Hasil penyertaan awam selama lebih dua tahun dijalankan, kita mendapati lebih 50 peratus nelayan menyokong projek PSR ini. Bagaimanapun, sokongan itu bersyarat yang mana, majoritinya bertanya mengenai pampasan. 

"Tak ramai yang tanya sama ada mereka masih boleh tangkap ikan atau tidak selepas projek itu dibangunkan. Ini kerana, mereka lebih tahu kawasan mana yang boleh menangkap ikan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) yang ingin tahu berapa peratus daripada 805 nelayan yang terjejas dalam sesi penyertaan awam yang diadakan. 

Dr Afif, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, berkata rata-rata mereka menyokong projek berkenaan, namun membangkitkan isu pampasan yang akan mereka terima.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu pampasan kepada nelayan yang terjejas belum dibincangkan secara terperinci malah tiada garis panduan khusus darpadai kerajaan Pusat.

Selain isu pampasan, menurutnya nelayan-nelayan itu juga membangkitkan mengenai penempatan semula nelayan yang terjejas dengan projek tambakan itu.

"Isu perumahan ini pun penting. Kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah adakan perbincangan. Bagaimanapun, kita masih melihat semua tapak-tapak yang sesuai untuk membina perumahan nelayan. Setakat ini, perbincangan masih dijalankan," katanya.

Dr Afif berkata projek PSR tidak dibangunkan di kawasan tangkapan ikan, bagaimanapun ia akan menjejaskan ekosistem kawasan berhampiran. 

"Kita dapati ia akan menjejaskan ekosistem seperti tempat pembiakan ikan dan udang, namun kita ada jalankan program mitigasi termasuk membangunkan semula paya bakau untuk mengganti semula tempat yang hilang disebabkan projek PSR ini.

"Dengan adanya projek ini laluan air akan dibina bagi memudahkan nelayan keluar masuk. Jika sebelum ini mereka perlu tunggu air surut dulu. Kita juga akan membina jeti terapung baru. Walaupun dengan adanya projek PSR ini, kita akan kekalkan aktiviti nelayan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel