Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak tawar bayar balik RM1 bilion hutang persekutuan secara pembayaran kontra


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak serius mahu menyelesaikan isu bangunan sekolah usang dengan segera dan telah menawarkan untuk membayar balik RM1 bilion hutangnya kepada kerajaan persekutuan secara pembayaran kontra.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata kerajaan negeri menawarkan pembayaran secara kontra itu untuk mempercepat dan menyegerakan pembangunan semula dan menaik taraf sekolah-sekolah yang usang itu.

“Isu ini masih lagi dirundingkan dengan kerajaan persekutuan dan dami berharap ia membuahkan hasil positif tidak lama lagi,” katanya ketika menjawab soalan daripada Paulus Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah itu adalah di luar peruntukan biasa yang diberi kerajaan persekutuan menerusi program pembangunan lima tahun.

Pada tahun ini kerajaan negeri membelanjakan RM123 juta di bawah Tabung Pembangunan Khas Ketua Menteri untuk menaik taraf 155 sekolah usang di seluruh negeri sebagai tambahan kepada peruntukan persekutuan sebanyak RM100 juta, kata beliau.

Sementara itu, Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah akan memulakan perkongsian sektor awam-swasta selain berunding dengan syarikat-syarikat peneraju dan taman-taman pertanian untuk mempercepatkan aktiviti pertanian, terutama di kawasan pedalaman, kata Menteri Mudanya, Datuk Roland Sagah.

Beliau menjawab pertanyaan Henry Harry Jinep (GPS-Tasik Biru) yang bertanya sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk mewujudkan agensi pembangunan yang memfokus kepada bidang pertanian dan pelancongan di “Jalur Bidayuh”, yang terbentang dari Lundu ke Serian, yang telah dikenal pasti sebagai jalur durian disebabkan kesesuaian tanahnya.

Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera Datuk John Sikie Tayai memberitah dewan bahawa  Mahkamah Bumiputera Sarawak mempunyai 72 majistret untuk mengendalikan kes-kes mahkamah seperti Hak Adat Bumputera dan pelbagai pertikaian lain.

Menjawab soalan Yussibnosh Balo (GPS-Tellian), beliau berkata daripada 4,684 kes berkaitan tuntutan sivil sehingga 28 Feb, 2019, 2,370 atau 50.6 peratus telah diselesaikan.

Bagi kes permohonan dikenali sebagai komuniti Bumiputera di bawah bidang kuasa Mahkamah Bumiputera Residen, katanya sebanyak 1,657 ke telah didaftar dengan 269 kes telah diselesaikan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel