Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

HSNZ lakar sejarah lakukan pembedahan EXIT pertama terhadap janin alami ketumbuhan


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





KUALA TERENGGANU, 2 Mei (Bernama) -- Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) melakar sejarahnya tersendiri, apabila berjaya melakukan pembedahan ‘ex utero intrapartum treatment’ (EXIT) ke atas janin berusia 37 minggu.

Pengarah HSNZ Dr Nor Azimi Yunus berkata janin itu mempunyai ketumbuhan seberat 2.7 kilogram pada muka dan leher, dan pembedahan EXIT dilakukan dalam keadaan hanya kepala dan separuh badan janin dikeluarkan daripada rahim ibu.

"Ia pembedahan EXIT pertama yang dilakukan di Terengganu. Sebelum ini, pakar-pakar dari HSNZ akan pergi ke hospital negeri lain sekiranya ada keperluan untuk melakukan pembedahan tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pembedahan pada 22 Jan lalu itu melibatkan sekumpulan pakar dan subkepakaran daripada empat jabatan iaitu Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Anestesiologi.

Katanya, ketumbuhan itu didiagnoskan sebagai 'giant cystic hygroma' yang sangat berbahaya, kerana ia menyempitkan saluran pernafasan janin berkenaan.

Pembedahan EXIT mengambil masa lebih kurang sejam sahaja kerana saluran pernafasan boleh dimasukkan dengan mudah ke dalam janin, namun pembedahan membuang ketumbuhan yang dilakukan seminggu selepas itu mengambil masa 10 jam melibatkan 30 kakitangan perubatan dari empat jabatan kepakaran di HSNZ.

Dr Nor Azimi berkata kecacatan janin itu dikesan ketika ia berusia 22 minggu dan ibu berusia 23 tahun berkenaan yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kemudiannya dirujuk ke HSNZ untuk melakukan prosedur pembedahan EXIT.

"Hanya pembedahan EXIT sahaja pilihan terbaik untuk menyelamatkan nyawa ibu dan janin ini, kerana kelahiran normal sangat merbahaya dan kritikal kerana dikhuatiri kepala bayi bersama ketumbuhan yang besar itu akan tersekat di saluran peranakan,” katanya.

Ditanya mengapa HSNZ agak lewat mengumumkan kejayaan pembedahan itu, Dr Nor Azimi berkata ia bagi memastikan kesihatan mereka berada di tahap optimum.

Mereka dibenarkan pulang ke rumah di Kuantan sebulan selepas pembedahan dan kesihatan mereka berada di tahap yang baik, namun bayi itu perlu dipantau dan mungkin perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan ketumbuhan itu tidak menjejaskannya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel