Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan tidak pernah arah pengeluaran dokumen kepada PATI - Azis


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





KOTA KINABALU, 2 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman menegaskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan pengeluaran atau pemberian dokumen kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.

Sebaliknya beliau berkata mana-mana PATI yang ditangkap akan ditahan seterusnya didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka.

"Kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) tiada kuasa memberi taraf kewarganegaraan kepada PATI, malah program pendaftaran rakyat tanpa negara akan diselaras sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Program ini pun masih di peringkat cadangan dan belum pun di laksanakan dan jika program ini dilaksanakan, kementerian yang bertanggungjawab ialah Kementerian Dalam Negeri di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu yang disentuh oleh Anggota Dewan Negeri Sulaman Datuk Hajiji Mohd Noor mengenai PATI yang tular di media sosial, mengenai kerajaan negeri Sabah memberi dokumen kepada PATI.

Azis yang juga Ketua Wira Warisan berkata ada kemungkinan Hajiji maksudkan rakyat tanpa negara di Sabah, yakni golongan yang lahir dan membesar di Sabah malah telah pun menjadi generasi ketiga dan keempat yang mana negara Filipina tidak mengiktiraf mereka ini sebagai rakyat Filipina.

Katanya masalah sama turut berlaku di Semenanjung yang diperjuangkan oleh kebanyakkan anggota parlimen  Pakatan Harapan di Parlimen bahawa kerajaan perlu memberikan golongan itu suatu dokumen tertentu agar jumlah mereka dapat diketahui.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dengan lantang bersuara supaya kanak-kanak tanpa negara yang ibu bapa mereka yang tidak boleh dikenalpasti, perlu diberikan dokumen supaya mereka boleh bersekolah.

"Namun begitu kita bukan berikan kewarganegaraan cuma suatu dokumen. Cuma berikan dokumen supaya kita ada data dan jumlah mereka yang kerajaan (di bawah kepimpinan) UMNO dahulu gagal menanganinya," kata Azis.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel