Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penganggur dipenjara enam tahun, enam sebatan kerana menipu


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





JOHOR BAHRU, 2 Mei (Bernama) -- Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menipu menjual alat penapis air yang tidak wujud antara Oktober tahun lepas dan April lepas.

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhi hukuman itu selepas lelaki berkenaan, Mohd Zulhulaifah A Ghani, 29, membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Mohd Zulhulaifah yang berasal dari Kampung Tenglu, Mersing,  didakwa memperdaya 10 mangsa mempercayainya dengan menawarkan perkhidmatan servis penapis air yang tidak wujud sehingga mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang tunai antara RM98 hingga RM466 membabitkan keseluruhan kerugian berjumlah RM2,888.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sekitar Pasir Gudang antara 18 Oktober 2018 dan 23 April lepas.

Mohd Zulhulaifah yang masih bujang didakwa mengikut 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dan hukuman terbabit berjalan serentak, namun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal ke atas tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada orang awam.

Noor Aisyah kemudian menetapkan Mohd Zulhulaifah menjalani hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 25 April lepas dan dua kali sebatan (rotan halus) bagi tiga kesalahan pertama.

Untuk kesalahan keempat dan kelima, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua kali sebatan selepas selesai hukuman pertama manakala bagi kesalahan keenam hingga kesepuluh, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan lagi selepas tamat tempoh hukuman kedua.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel