Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

15 nelayan asing ditahan di perairan Tanjung Balau


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





JOHOR BAHRU, 2 Mei (Bernama) -- Lima belas nelayan asing termasuk seorang tekong dipercayai warga Vietnam ditahan pihak berkuasa di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam, kerana didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadhli Nayan berkata kesemua lelaki berusia 17 hingga 45 tahun itu, ditahan di kedudukan kira-kira 26.5 batu nautika timur Tanjung Balau pada pukul 11.45 pagi.

Ia berikutan pasukan ronda maritim yang sedang menjalankan Operasi Jaksa di perairan tersebut, berjaya mengesan sebuah bot disyaki bot asing dalam keadaan mencurigakan dan mempamerkan tanda nama seperti bot nelayan tempatan.

“Semasa kejadian, bot tersebut cuba melarikan diri daripada diperiksa dengan memotong pukat namun berjaya dipintas dan ditahan. Apabila diperiksa, tekong bot gagal mengemukakan apa-apa lesen bot selain terdapat sebilangan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sejumlah barangan bernilai kira-kira RM3 juta turut dirampas  merangkumi bot, bahan bakar dan peralatan menangkap ikan yang digunakan serta hasil tangkapan laut yang dicuri.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Jika disabitkan  kesalahan, tekong boleh dikenakan denda RM1 juta manakala awak-awak  boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya manakala kedua-dua bot berserta peralatannya boleh dilucut hak.

"Tangkapan kali ini menjadikan tiga buah bot nelayan asing ditahan di Perairan Johor Timur dalam minggu ini. Oleh itu, Maritim Malaysia akan meneruskan usaha membanteras pencerobohan bot nelayan Vietnam ke dalam perairan negara khususnya di Pantai Timur Negeri Johor,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel