Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rakyat Kelantan harap harga tiket ECRL kompetitif


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





Oleh Azli Shafii

KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Rakyat Kelantan berharap agar kerajaan dan syarikat pengendali menawarkan harga tiket yang kompetitif bagi kemudahan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata tawaran harga kompetitif tersebut akan memberi peluang kepada rakyat untuk menggunakan kemudahan tersebut dengan lebih kerap sebagai pengangkutan alternatif kepada mereka untuk ke destinasi masing-masing.

Seorang penduduk Rohani Che Ghani, 45, dari Lembah Sireh di sini, berkata jika harga tiket terlalu mahal hanya golongan berpendapatan tinggi sahaja yang mampu menggunakan perkhidmatan tersebut 

“Golongan kurang berkemampuan pula tidak akan mampu menggunakan ECRL.

“Justeru, saya berharap agar kerajaan dapat meletakkan harga yang munasabah kerana ia akan memberi kebaikan kepada majoriti penduduk di sepanjang laluan tersebut,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azila Shafie, 35, dari kampung Padang Siam, Tanah Merah berkata kemudahan ECRL akan memberi alternatif baharu kepada kalangan perantau untuk pulang ke kampung halaman selain menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam yang lain.

“Namun jika harganya lebih mahal daripada tiket kapal terbang, saya rasa ramai perantau yang tidak akan berminat menggunakan perkhidmatan tersebut terutama ketika musim perayaan.

“Mereka akan memilih untuk menggunakan perkhidmatan darat atau memandu sendiri pulang ke kampung halaman kerana kos yang dikeluarkan adalah lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata langkah kerajaan meneruskan kembali projek berkenaan memberi khabar gembira kepada rakyat terutama di pantai timur.

“Bagaimanapun kerajaan juga harus mengkaji harga tiket yang munasabah dan dalam masa yang sama kompetitif bagi menarik lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Walaupun ECRL akan dikendalikan oleh syarikat yang menguruskan projek berkenaan namun mereka akan berdepan kerugian jika harga tiket terlalu mahal untuk dibeli oleh pengguna,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum ini mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2  ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Peserta program bimbingan INSKEN raih jualan RM8.89 juta

 
     

Lapan nelayan hilang di perairan Tambisan

 
     

Polis siasat pagar rumah wartawan disimbah cat merah

 
     

Sekolah Tamil pupuk perpaduan menerusi sambutan Ponggal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel