Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasar raya bantu keluarga pelajar lemas di Simpang Renggam


Tarikh kemaskini: 01/05/2019





KLUANG, 1 Mei (Bernama) -- Kesedihan keluarga kepada pelajar mangsa lemas Allahyarham Muhammad Ammar Mazeni, 13, di Sungai Kampung Sahari, Simpang Renggam di sini, 25 April lepas, mendapat perhatian pelbagai pihak.

Bantuan dan sumbangan termasuk sokongan moral tidak putus-putus diberikan, baik dari badan korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pasar Raya Econsave yang sememangnya aktif melaksanakan program berbentuk khidmat komuniti (CSR).

Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam berkata pihaknya menyalurkan bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga Allahyarham Muhammad Ammar, namun, perkara yang paling penting adalah sokongan moral kepada keluarga berkenaan.

"Seperti lazimnya, sebaik mendengar ada sahaja bencana atau musibah, pihak kami akan mengaktifkan unit CSR dan dalam masa yang sama menggerakkannya ke lokasi terlibat dengan membantu mangsa atau anggota keluarga mangsa.

"Inilah program kebajikan kami di kawasan kami beroperasi, di mana kami tidak melupakan komuniti yang berada di sekitar cawangan kami,” katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga Allahyarham Muhammad Ammar di Kampung Isnin Maarof, di Simpang Renggam, hari ini.

Sementara itu, ibu Allahyarham Muhammad Ammar, Suriyani Khalid, 36, dan bapanya, Mazeni Kasman, 46, berterima kasih atas bantuan dihulurkan.

Suriyani berkata mereka sekeluarga masih terasa kehilangan anaknya yang dianggap periang itu, namun, reda dengan ujian yang menimpa.

"Sepatutnya ini tahun pertama arwah (Muhammad Ammar) berpuasa di asrama kerana pada tahun-tahun sebelumnya, memang dia ada bersama kami di rumah bersama dua lagi adiknya, dan kali terakhir saya jumpa arwah adalah tiga hari sebelum kejadian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 petang, 25 April lepas itu, Muhammad Ammar bersama rakannya, Mohd Danish Mirzan Muhammad Said, 16, hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kampung Sahari bersama enam lagi rakannya.

Kelapan-lapan mereka merupakan pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gufran, Simpang Renggam.

Mayat Mohd Ammar, ditemukan pada 5.20 pagi, 26 April kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan mandi dan hanyut, manakala mayat Mohd Danish Mirzan ditemukan pada 10.29 pagi, 27 April, kira-kira 20.5 kilometer dari tempat dia dilaporkan mandi dan hanyut.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel