Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

24 nelayan Vietnam ditahan tangkap ikan secara haram di perairan Pulau Aur


Tarikh kemaskini: 01/05/2019





JOHOR BAHRU, 1 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan 24 nelayan rakyat Vietnam kerana dipercayai melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan dua bot di kedudukan kira-kira 19 batu nautika tenggara perairan Pulau Aur, Mersing, semalam.

Pengarah ZMTS Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kesemua nelayan termasuk dua tekong berumur 15 hingga 56 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari oleh sebuah kapal peronda APMM yang didatangkan khas dari Johor barat.

“Kapal peronda itu mengesan dua bot penangkapan ikan asing yang mempamerkan ‘carving marking’ (tanda nama) Vietnam dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata semasa pemeriksaan, tekong kedua-dua bot itu juga gagal mengemukakan sebarang lesen bot dan terdapat sebilangan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata selain penahanan mereka, pihaknya turut merampas pelbagai barangan bernilai kira-kira RM6.4 juta termasuk kedua-dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut serta bahan bakar.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda RM1 juta manakala awak-awaknya pula boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya serta kedua-dua bot berserta peralatannya boleh dilucuthak.

''APMM sentiasa serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan kapal penangkapan ikan asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara. APMM Johor khususnya ZMTS juga akan menggandakan usaha mencegah berlakunya kejadian rompakan di laut,” katanya.

-- BERNAMA  

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel