Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

INSTEP sedia kursus bidang petroleum bertaraf global


Tarikh kemaskini: 01/05/2019





Oleh Noor Aznida Alias

KUALA NERUS, 1 Mei (Bernama) -- Institut Teknologi Petronas (INSTEP) yang bertanggungjawab dalam melahirkan dan melatih juruteknik berkemahiran serta pengendali industri petroleum menerusi program yang ditawarkan kini diakui sebagai bertaraf global terutama oleh peserta antarabangsa yang mengikuti program di institut itu.

Ditubuhkan pada 1981, INSTEP yang dimiliki oleh Petronas Technical Training Sdn Bhd menawarkan Program Teknologi Petroleum dalam bidang elektrikal, instrumentasi, makmal, mekanikal serta  proses  dan perngeluaran di kampusnya di Batu Rakit di sini.

Jurutera dari Papua New Guinea, Katherine Manus, 33, yang mengikuti tiga kursus berasingan berkata INSTEP banyak membantu beliau serta rakannya yang dihantar oleh  syarikat Oil Search Limited (OSL) secara berperingkat sejak Mac lepas.

"Peringkat pertama latihan adalah berkaitan penerokaan pengeluaran manakala peringkat kedua melibatkan aspek proses dan mekanikal sementara fasa ketiga berkaitan elektrikal dan instrumen merupakan sesuatu yang sangat baharu bagi saya.

"Selepas menjalani latihan,  kefahaman saya tentang bagaimana sesebuah syarikat minyak dan gas itu beroperasi lebih meluas dan ia pastinya akan memudahkan tugas saya kerana sebagai graduan kejuruteraan mekanikal saya  terpaksa berurusan juga dengan jabatan lain di syarikat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Jurutera dari Oman, Ali Al-Arrashi, 42, yang menjalani latihan selama dua bulan di INSTEP turut mengakui perkara sama kerana INSTEP menyediakan kursus yang fokus dalam mendepani situasi semasa.

Beliau yang dihantar syarikat Oman Gas Company (OGC) mendalami bidang gas petroleum cecair (LPG), sebagai persediaan membuka loji LPG di negaranya.

Beliau berkata, walaupun Oman terkenal sebagai antara pengeluar minyak terbesar dunia, industri berasaskan LPG adalah sesuatu yang baharu bagi mereka.

"Pemilihan INSTEP adalah berdasarkan cadangan satu syarikat lain dari negara kami yang juga dalam minyak dan gas iaitu Oman Brunei Investment Company SAOC (OBIC) yang pernah menghantar ramai kakitangan mereka ke sini.

"Selepas melakukan sedikit kajian, syarikat yakin dengan kredibiliti INSTEP dan menghantar sembilan orang pekerja mahir ke sini sebagai permulaan dan akan disusuli dengan 40 lagi juruteknik bagi menjalani latihan yang sesuai," katanya yang bertugas sebagai jurutera mekanikal selama 20 tahun di OGC.

Bermula daripada sebuah sekolah teknikal, INSTEP sehingga kini telah melahirkan lebih 14,000 tenaga kerja profesional dalam industri minyak dan gas selari dengan objektif penubuhannya iaitu menyediakan tenaga mahir melalui latihan bertaraf dunia.  

Menurut Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah, INSTEP telah mengendalikan latihan teknikal dalam bidang minyak dan gas melibatkan pelatih dari 30 buah negara termasuk Oman, Sudan, Turkmenistan, Singapura dan Papua New Guinea.

Katanya, INSTEP kini bukan sekadar menjadi pengikut teknologi, tetapi memainkan peranan lebih besar sebagai pusat pemindahan teknologi kepada negara luar.

"Selain melatih anak tempatan, INSTEP juga menerima pelatih dari organisasi asing yang ingin meningkatkan tahap efisiensi kakitangan mereka melalui latihan berpiawaian tinggi yang ditawarkan,” kata beliau ketika dihubungi Bernama. 

Selain faktor kepakaran tenaga pengajar oleh 50 anak tempatan, kejayaan INSTEP turut didorong oleh penyediaan fasiliti bertaraf dunia yang mencipta persekitaran latihan seperti yang sebenar yang ada di luar sana.

Ini diperkukuhkan lagi dengan  pengiktirafan dari badan dunia iaitu Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO) pada 2015 yang mengiktiraf kredibiliti sesiapa sahaja yang dilatih di INSTEP untuk berkhidmat dengan mana-mana syarikat minyak dan gas antarabangsa.

"Pelaburan lebih RM250 juta untuk membina simulasi loji minyak sebenar yang merangkumi latihan huluan dan hiliran serta dilengkapi pusat kawalan bagi kemudahan latihan dan pembelajaran amat berbaloi.

“Boleh dikatakan ramai  graduan INSTEP telah menjadi kakitangan mahir dan pakar di luar negara," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel