Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JBPM bina, baik pulih 387 rumah mangsa kebakaran sejak 2012


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





ALOR SETAR, 30 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membina dan membaik pulih sebanyak 387 rumah mangsa kebakaran menerusi Projek Rumah Sejahtera di bawah Program Sayangi Rakyat, sejak 2012 hingga kini. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Amer Yusof berkata, daripada jumlah itu sebanyak 196 rumah membabitkan pembinaan baharu dengan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi setiap unit, manakala 191 buah rumah lagi dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM13,000 setiap unit.

Katanya, walaupun pembinaan dan membaik pulih rumah untuk mangsa kebakaran bukan teras utama  JBPM, namun jabatan itu mahu turut serta dalam membantu mangsa-mangsa terutama mereka daripada golongan kurang berkemampuan.

“Segala kerja pembinaan dan membaik pulih rumah itu dilakukan sepenuhnya oleh anggota bomba secara bergotong-royong dengan menggunakan kemahiran pertukangan yang dimiliki dan projek ini juga tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat bantuan daripada jabatan, agensi dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah dalam Projek Rumah Sejahtera di bawah Program Sayangi Rakyat JBPM di sini, hari ini.

Amer berkata, pemilihan penerima bantuan itu dilakukan oleh jawatankuasa JBPM yang ditubuhkan di peringkat negeri yang bertindak mengenal pasti rumah-rumah yang terlibat dengan kebakaran.

“Syarat utama mestilah rumah terbakar dan juga rumah yang usang dimiliki golongan miskin, namun bukan semua rumah terbakar dan usang dibina semula kerana ia bergantung kepada kelayakan calon sama ada memenuhi kriteria yang telah ditetapkan atau tidak, selain itu perlu ada tanah untuk bina baharu,” katanya.

Menurutnya, di Kedah pula sebanyak 12 rumah yang terlibat dengan kebakaran telah dibina baharu, manakala 14 buah lagi telah dibaik pulih di bawah program tersebut.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Feteri Ahmad, 49, melahirkan rasa syukur selepas menerima kunci rumah baharunya hari ini yang sebelum ini musnah dalam kebakaran pada 26 Feb tahun lepas.

Katanya, dengan pendapatan hanya RM900 sebulan sebagai tukang kebun sekolah dan isteri tidak bekerja, beliau tidak mampu membina semula kediamannya dan terpaksa tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM350 sebulan.

“Namun saya bersyukur apabila dimaklumkan menerima bantuan ini yang sekali gus memberi sinar baharu kepada kami sekeluarga bagi menyambut Ramadan dan Syawal di rumah lebih selesa,” katanya yang memiliki tiga orang anak berusia antara enam hingga 14 tahun.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel