Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri digesa pertimbang semula pelan PSR, terowong dasar laut


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Seorang wakil rakyat kerajaan hari ini menggesa Kerajaan  Negeri Pulau Pinang mempertimbang semula pelan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) dan Pelan Terowong Dasar Laut dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), memandangkan negeri ini masih belum sampai tahap bandar antarabangsa.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Jason Ong Khan Lee berkata Kerajaan Negeri perlu menangguhkan atau "Keep-In-View" dua komponen projek itu, memandangkan populasi, pembangunan dan kemajuan negeri ini masih belum sampai tahap Singapura dan Hong Kong.

"Sekiranya dibandingkan Pulau Pinang dengan kedua-dua negara itu, kedua-duanya telah lama menjadi bandaraya antarabangsa yang terkenal sebagai hab kewangan, perniagaan dan “entreport” perdagangan. Jadi saya meminta Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang mempertimbangkan semula kedua-dua pelan itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Ketika mencelah, Ketua Pembangkang Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) turut menyokong cadangan Ong supaya Kerajaan Negeri dapat memberi pertimbangan semula terhadap projek mega negeri ini.

"Saya berharap Kerajaan Negeri akan meneliti semula dari aspek alam sekitar dan kos projek yang tinggi sebelum melaksanakannya," katanya.

Bagaimanapun, Ong berkata beliau tidak menolak malah menyokong PTMP tetapi sebagai wakil rakyat beliau harus mewakili rakyat untuk meminta penjelasan daripada pihak Kerajaan Negeri mengenai projek berkenaan.

Antara perkara yang menimbulkan kebimbangan kepada semua rakyat negeri ini adalah projek PTMP menelan kos yang tinggi dan impaknya terhadap alam sekitar.

"Saya percaya pihak Eksekutif dapat memahami bahawa projek PTMP menelan kos yang tinggi iaitu berjumlah RM46 bilion dan oleh sebab itu rakyat berhak untuk mengetahui sumber pembiayaan projek ini dan sama ada projek mega ini adalah “sustainable” dalam jangka masa panjang yang sudah tentu melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

"Pelaksanaan PTMP adalah tepat pada masa sekiranya keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan kita adalah kukuh dan mengizinkan kerana setahu saya, projek ini tidak diberi bantuan kewangan oleh Kerajaan Pusat. Maka kita perlulah berhemah dan berhati-hati dalam melaksanakan projek mega ini," katanya.

Kerajaan Negeri merancang projek tebus guna itu dengan tujuan untuk membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudian akan dijual sebagai modal bagi menampung kos PTMP negeri.

PTMP ialah projek inisiatif Kerajaan Negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     

Ibu tunggal didakwa bunuh anak sendiri

 
     

Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan - KDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel