Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembangunan bandar pintar perlu sesuai dengan rancangan, visi, teknologi


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





MELAKA, 30 April (Bernama) -- Pembangunan sesebuah bandar pintar perlu mengambil kira beberapa perkara antaranya membuat perancangan, visi dan teknologi yang bersesuaian dengan bandar berkenaan.

Menurut Ketua Perunding Digital, Arup Singapore Pte Ltd, Brice Richard, sebuah bandar pintar adalah bandar yang mempunyai perancangan jelas untuk menjadi tempat yang lebih mudah didiami dan penduduknya gembira, memiliki kawasan dan masyarakat yang cergas serta lebih mampan iaitu kos dan sumber yang cekap.

“Rancangan dan visi sebuah bandar pintar perlu disesuaikan dengan bandar berkenaan, untuk menyelesaikan masalah bandar dan mengekalkan kemampanan bandar itu. Tiada penyelesaian umum yang sesuai untuk semua (masalah), sesuaikan apa yang Melaka mahu dalam sebuah bandar pintar, bukannya meniru rancangan bandar pintar yang lain.

“Teknologi adalah penting sebagai penggerak tetapi ia mesti dirancang dengan baik, kita perlu merancang struktur bandar pintar dahulu dan menentukan apakah teknologi yang sesuai dengan strategi itu. Sekiranya kita pergi kepada vendor teknologi tanpa perancangan, kita akan mendapat teknologi mahal yang tidak diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘The Smart Steps To Make Melaka The Smart State’ pada Seminar Melaka Berwibawa di Bandar Hilir di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Richard berkata adalah penting untuk sesebuah bandar menggunakan teknologi sedia ada atau rakan kongsi pemain teknologi untuk melaksanakan teknologi di bandar pintar dan bukannya membelanjakan banyak wang membeli dan memiliki teknologi daripada vendor.

Seperti Melaka, beliau berkata bandar ini perlu membangunkan strategi bandar pintarnya sendiri dan satu perkara yang diperhatikan beliau adalah bagaimana Melaka telah membangun menjadi bandar yang memupuk nilai warisan untuk menarik pelancong dan ini boleh dijadikan asas pembangunan.

“Apa yang menjadikan Melaka unik adalah visinya yang mentakrifkan Melaka sebagai bandar pintar yang menjadikannya tempat tinggal selesa untuk penduduknya,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel