Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bibi Ramjani sedia letak jawatan


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





KOTA BHARU, 30 April (Bernama) -- Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan sedia meletak jawatan, bagi memberikan laluan kepada ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz, yang tampil menawarkan diri bagi menyahut cabaran presiden wanita itu sebelum ini.

Bibi Ramjani berkata sebelum ini beliau telah berjumpa dengan ahli perniagaan itu, bagi membincangkan beberapa perkara berhubung persatuan terbabit.

"Alhamdullillah syukur ada yang berminat untuk menerajui KAFA, dan saya sudah berjumpa dan berbincang, namun kalau berbincang tanpa masukkan dana, takut pisang berbuah dua kali.

"Masa berbincang saya sudah beritahu berhubung masalah kewangan yang dihadapi KAFA, apa yang penting sekarang dana perlu ada sebelum terajui persatuan, kena korban sikit bila mahu jadi pemimpin terutamanya dalam bola sepak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hari ini akhbar melaporkan ahli perniagaan itu berani tampil menyahut cabaran Bibi Ramjani, yang sedia melepaskan jawatan sekiranya ada individu yang berkemampuan dari segi kewangan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan persatuan itu.

Bibi Ramjani berkata beliau turut berbesar hati atas kesudian ahli perniagaan itu tampil menyuarakan hasrat berkenaan.

"Saya harap perkara ini tidak hanya cakap kosong, kerana masalah KAFA tidak selesai dengan cakap sahaja, kerana sebelum ini saya memulakan menjadi presiden membawa dana RM 1.5 juta bagi menyelesaikan masalah terutamanya tunggakan gaji.

"Saya harap beliau (Amril Aiman) sudah bersedia dengan apa yang sudah diberitahu, dan saya sedia berikan kerjasama, beritahu mana yang penting untuk perjalanan kewangan pasukan," katanya.

KAFA ketika ini mengalami pelbagai isu antaranya kegagalan membayar gaji, dan terbaharu pemotongan mata sehingga menyaksikan skuad yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu berada dalam kelompok terbawah Liga Premier.

Sebelum ini usahawan wanita itu dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018 hingga 2021 pada kongres Tahunan KAFA ke-63 bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang  meletak jawatan selepas menerajui persatuan itu selama lapan tahun.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel