Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hishammuddin tegas masih setia terhadap UMNO


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





JOHOR BAHRU, 30 April (Bernama) – Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak akan melompat parti dan masih tetap setia terhadap UMNO.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang berterusan mahu memfitnahnya mahu melompat parti dan menyerahkan perkara itu kepada orang ramai untuk membuat penilaian sendiri.

Beliau berkata soalan berhubung khabar angin kononnya beliau  akan melompat parti sudah diajukan kepadanya berulang kali.

 Namun hari ini, beliau kelihatan masih lagi memakai baju UMNO dan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor.

"Saya sudah ditanya mengenainya (lompat parti) banyak kali dan sekarang apa yang kita nampak adalah orang yang tidak ditanya soalan itu yang sudah lompat, orang yang ditanya soalan itu tiap-tiap hari pula masih lagi setia memakai baju UMNO.

"Ia adalah cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mungkin ada kepentingan peribadi atau mempunyai matlamat hendak melaga-lagakan pemimpin, tetapi kita jawab bukan dengan kenyataan tetapi dengan tindak tanduk kita sendiri,” katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata walaupun bukan sempurna, namun, pendirian beliau tetap konsisten dari dahulu lagi untuk tidak meninggalkan UMNO dan berpandangan beliau masih relevan di dalam politik apabila orang ramai masih lagi memperkatakan mengenai dirinya.

"Jadi, sekali lagi saya hendak ulang, saya tidak akan ke mana-mana dan tetap akan bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel