Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ERC mahu liputan media adil kepada semua calon


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





KUANTAN, 30 April (Bernama) -- Liputan media yang adil kepada semua calon dan parti yang bertanding antara cadangan penambahbaikan yang mahu dilaksanakan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) 

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata perkara itu penting kerana setiap calon perlu diberi ruang secukupnya untuk berkempen bagi membantu pengundi mendengar dan menilai tawaran mereka sebelum membuat pilihan terbaik dalam kertas undi. 

"Kita dapati berlaku ketidakadilan dalam media kerana parti yang memerintah mempunyai kelebihan menggunakan media pada amalan sebelum ini. Ia juga tidak adil kepada calon bebas yang bertanding, yang mungkin tidak mempunyai akses kepada media. 

"Bagaimanapun, media dilihat lebih baik sejak kebelakangan ini kerana sudah ada media yang memberi peluang kepada calon selain parti pemerintah pada beberapa siri pilihan raya kecil kebelakangan ini," katanya. 

Abdul Rashid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kajian Semula Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini, hari ini. 

Beliau mengakui kebebasan media dalam menyediakan laporan semasa pilihan raya secara tidak langsung melambangkan amalan matang berpolitik dan menghidupkan prinsip demokrasi. 

Sehubungan itu, Abdul Rashid berpandangan adalah perlu untuk suatu peraturan atau undang-undang khusus yang membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau media, bermula saat pembubaran sehingga selesai proses pengundian.

"Pemantauan ini bukan bermaksud mahu menyekat (media), tetapi untuk menentukan mereka memberikan liputan adil kepada semua pihak yang bertanding. 

"Kerajaan yang ada masa kini juga sudah memberi mandat untuk mewujudkan keadilan kepada semua calon kerana tidak mahu kemenangan adalah disebabkan kelebihan yang ada kepada mereka dalam aspek media. 

"Semua yang bertanding mestilah terdiri daripada mereka yang tidak takutkan cabaran, bersikap gentleman dan beri peluang untuk pihak lawan untuk menjelaskan hala tuju mereka," katanya. 

ERC juga menurut Abdul Rashid akan bertemu dengan 'orang kuat' organisasi media pada Sabtu ini, untuk mendapatkan pandangan mereka dalam melaksanakan cadangan itu. 

Berhubung penggunaan media sosial untuk berkempen, Abdul Rashid mengakui situasinya adalah rumit dan memerlukan kajian lebih mendalam kerana tiada kawalan sehingga menyebabkan ada yang masih berkempen walaupun tempoh berkempen telah tamat. 

"Media sosial sebenarnya memerlukan elemen pendidikan pengundi kerana rakyat perlu tahu mereka mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana anggota politik yang melakukan kesalahan, termasuk dalam isu pengurusan media," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel