Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ECRL perlu bawa pertumbuhan sektor perindustrian ke pantai timur - Mohamed Azmin


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





MELAKA, 30 April (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu membawa industri baharu dan pertumbuhan sektor perindustrian ke pantai timur yang seterusnya diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi menguntungkan rakyat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sekiranya tiada industri baharu dan pertumbuhan itu, tiada pengangkutan kargo yang akan menggunakan ECRL dan sekiranya ini berlaku tiada sebab untuk melaksanakan pembinaan ECRL di negara ini.

"Antara syarat baharu yang kita letakkan mesti membawa industri baharu ke pantai timur. ECRL ini penting jika ada pertumbuhan industri yang boleh menjana ekonomi dan pemindahan kargo industri ke Pelabuhan Klang," kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama bertajuk "Pembangunan Harapan Rakyat: Mekanisma Malaysia Baharu atau Satu Penjenamaan Semula" pada Seminar Melaka Berwibawa di Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Seminar dua hari bermula semalam dirasmikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini dan turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, barisan exco kerajaan negeri dan lebih 400 peserta.

Media sebelum ini melaporkan ECRL akan disambung semula dengan kos pembinaan Fasa 1 dan 2 kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Mohamed Azmin berkata penjimatan RM21.5 billion projek ECRL itu bukan kerana pengecilan skop dan spesifikasi projek itu seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini, sebaliknya menegaskan skop dan spesifikasi projek itu masih kekal.

"Masih landasan berkembar, jajaran itu jarak agak sama tetapi apa berlaku kita tidak membenarkan mereka menembusi Gombak dan ini keputusan diambil semasa saya jadi Menteri Besar Selangor lagi kerana di situ ada empangan dan kita tidak mahu sebarang masalah.

"Kita juga ada jajaran permatanq kuarza yang kita daftarkan dengan Unesco sebagai permatang kuarza terpanjang di dunia, dan kita juga tak mahu mereka tebuk dan buat terowong yang kosnya hampir RM10 billion, kita jimat hampir RM10 billion di situ," katanya.

Menurutnya, menerusi penjimatan itu kerajaan boleh melaksana projek lain yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

"Kita juga perangi salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan, dan kita akan teruskan prinsip dan amalan ini termasuk di Bandar Malaysia tetapi dengan konsep pembangunan yang baharu," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel