Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hakisan bukit cemaskan Orang Asli Kampung Sengsang


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





GUA MUSANG, 30 April (Bernama) -- Hakisan bukit petang semalam mencemaskan lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Sengsang, Pos Brooke, di sini yang bimbang akan kejadian lebih buruk.

Kejadian pada kira-kira 7 petang itu dipercayai berpunca daripada ribut dan hujan lebat ketika itu.

Akibat kejadian itu, Jalan Gua Musang-Lojing dekat kampung itu dipenuhi lumpur dan ratusan ketulan batu yang terjatuh dari bukit pengusaha sayur di situ. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Penghulu Pos Brooke Lama, Riang Bujang berkata kejadian berlaku ketika penduduk sedang berehat di rumah masing-masing dalam cuaca hujan lebat.

“Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kuat hakisan bukit yang berlaku sehingga menimbulkan keadaan mencemaskan,” kata beliau. 

Ekoran kejadian itu, penduduk telah bersiap-siap untuk berpindah tetapi keadaan kembali reda sebaik hujan berhenti setengah jam kemudian. 

Riang berkata, kejadian itu menyebabkan berpuluh-puluh batang pokok buah-buahan penduduk musnah selain ratusan ketulan batu dan lumpur memenuhi jalan raya. 

Beliau berkata, ini kali ketiga kejadian seperti itu berlaku di Pos Brooke dan sebelum ini pernah berlaku di Kampung Sangwai dan Jedip yang didakwanya mungkin kesan pembukaan tanah untuk kebun sayur yang tidak terkawal.

Katanya, penduduk kini sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda atau gejala kemungkinan berlakunya tanah atau cerun runtuh.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Sengsang, Angah Along, 54, pula berkata kebanyakan kampung Orang Asli sudah tidak selamat kerana terdedah kepada kejadian hakisan bukit. 

Katanya kejadian semalam menyebabkan penduduk menanggung kerugian teruk kerana tanaman pokok buah-buahan mereka musnah.

"Kita rayu kepada kerajaan supaya bertindak ke atas pekebun sayur yang melakukan aktivitinya tanpa ikut peraturan yang boleh mengundang bahaya," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel