Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

DBP tubuh pasukan kaji sejarah tamadun Johor


Tarikh kemaskini: 28/04/2019





KOTA TINGGI, 28 April (Bernama) — Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan berhasrat menubuhkan pasukan pembinaan dan penggalakan penerbitan untuk mengkaji lebih lanjut tentang Kesultanan Melayu Johor, tamadun dan peradaban Melayu Nusantara.

Pengarahnya, Abang Haliman Abang Julai berkata hasrat itu adalah lanjutan kepada program Kembara Sejarah yang diadakan oleh pihaknya setiap tahun bagi memberi peluang kepada peserta terlibat meneroka dengan lebih jelas dan jauh akan sejarah perjuangan terdahulu yang boleh dijadikan iktibar dan panduan hidup.

Katanya, program itu telah dimulakan di Batu Pahat sejak 2018 dan tahun ini dilanjutkan ke Kota Tinggi melibatkan 80 peserta.

“Peserta dibawa ke beberapa lokasi bersejarah seperti Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang; Makam Tun Habib, Kota Tauhid; Makam Laksamana Bentan; dan Kota Johor Lama untuk menjejaki kesan tinggalan sejarah melalui makam tokoh-tokoh sezaman Kesultanan Melayu Johor Lama. 

"Dari situ, kita dapat melihat hubungannya dengan Kerajaan Aceh melalui binaan kota, batu nisan dan beberapa artifak serta budaya yang berkaitan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kembara Sejarah Menjejak Makam Nisan Aceh di Dewan Orang Ramai Kampung Johor Lama di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom; Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Johor, Rusniza Hamdan; Kurator Bahagian Pemuziuman Yayasan Warisan Johor, Wasfi Mirza Othman; dan Ketua Kampung Johor Lama, Mohamad Nahar Salai. 

Katanya, menerusi program itu, beliau berharap Kota Tinggi dapat dimartabatkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan pada masa sama, melahirkan karyawan yang mampu menulis tentang sejarah tempatan dalam pelbagai genre untuk diterbitkan oleh DBP. 

— BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel