Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usahawan perlu rebut peluang industri halal dunia bernilai US$7 trilion


Tarikh kemaskini: 28/04/2019





MELAKA, 28 April (Bernama) -- Usahawan di negara ini diharap dapat mengambil peluang keuntungan sekurang-kurangnya lima peratus daripada nilai produk halal dunia yang dianggarkan sekitar US$7 trilion. 

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata sekiranya ia menjadi kenyataan, usahawan tempatan dijangka dapat menarik US$350 bilion daripada industri berkenaan yang kini dilihat semakin berkembang pesat.

“Saya baru balik dari Eropah dan Rusia, semua bercerita tentang sektor berpotensi tinggi iaitu produk halal, dari sekecil penyembelihan halal sehingga kepada produk farmaseutikal halal dan Bank Dunia turut memperakui bahawa US$7 trilion adalah meliputi produk halal.

“Bayangkan jika usahawan kita dapat menerokai peluang lima peratus ini atau US$350 bilion daripadanya, itu sudah cukup. KDNK negara kita RM1.3 trilion,” katanya kepada pemberita pada program Fiesta MED 2019 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Beliau melahirkan rasa puas hati apabila menerima maklum balas positif mengenai produk halal dari Malaysia yang dieksport ke luar negara termasuk produk berasaskan gamat dan minyak masak serta penyembelihan halal.

“Namun, cabaran kita ketika ini adalah untuk memastikan usahawan kita mengambil peluang yang sedia ada,” katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan adalah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bertujuan memperkenal, mempromosi dan memartabatkan produk serta perkhidmatan usahawan SDSI dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan melibatkan 144 usahawan dalam empat kluster iaitu makanan dan minuman, kraftangan, inap desa serta kesihatan.

Menurut Mohd Redzuan, program SDSI kali ini berjaya meraih potensi jualan bernilai hampir RM10 juta melalui 120 sesi padanan perniagaan, manakala sehingga kini, hasil kutipan jualan gerai termasuk perniagaan trak makanan adalah sebanyak kira-kira RM300,000.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel