Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jambatan baharu hubung Gua Musang-Jeli bakal dibuka


Tarikh kemaskini: 28/04/2019





GUA MUSANG, 28 April (Bernama) -- Jambatan baharu menghubungkan Gua Musang-Jeli yang berharga RM36.7 juta di Kampung Pulau Setelu di sini, bakal dibuka kepada orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata jambatan konkrit merentasi Sungai Nenggiri dan mula dibina pada Januari 2017 itu kini masih di peringkat akhir kerja-kerja pembinaan sebelum dapat disiapkan sepenuhnya pada Ramadan nanti.

Katanya apabila siap jambatan itu dapat menyelesaikan masalah perhubungan semua pengguna khususnya bagi mereka yang hendak menyambut Aidilfitri di kampung terletak di sepanjang jalan berkenaan. 

Katanya jambatan asal sebelum ini runtuh akibat arus deras dalam kejadian banjir besar pada Disember 2014.

"Bagi mengatasi masalah itu, sebuah jambatan sementara dibina sebelum jambatan konkrit ini dibina bersebelahannya," kata beliau kepada pemberita ketika meninjau pembinaan jambatan berkenaan di sini, hari ini

Ab Aziz berkata jambatan sementara yang menjadi laluan pengguna sebelum ini, terpaksa ditutup dua minggu lalu kerana mengalami kerosakan teruk sekali gus boleh membahayakan pengguna. 

"Kita mengakui jambatan sementara yang menjadi laluan penting pengguna sebelum ini kerap berdepan kerosakan serius berikutan puluhan kali tenggelam oleh arus Sungai Nenggiri. 

"Malah, pernah berlaku beberapa kali kenderaan termasuk motosikal menjunam ke dalam sungai itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal hilang dihanyut arus dan tidak ditemui sampai sekarang," katanya.  

Beliau seterusnya berkata apabila jambatan konkrit itu dibuka, ia dapat mengatasi kesesakan di laluan Jalan Gua Musang-Kuala Krai untuk warga kota pulang menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel