Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tan Hong Pin anggap pengguguran sebagai exco tidak lemahkan dirinya 


Tarikh kemaskini: 22/04/2019





JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Tan Hong Pin menyifatkan penggugurannya sebagai ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) tidak akan melemahkan dirinya, sebaliknya merupakan peralihan kepada yang lebih baik.

Malah beliau menerima pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal itu dengan berlapang dada dan menegaskan akan turut memainkan peranan semak imbang yang aktif di barisan penyokong kerajaan kelak.

“Saya berharap agar rombakan ini (rombakan barisan exco kerajaan negeri) memberi impak positif kepada agenda reformasi yang telah kita gagaskan kepada pentadbiran dan rakyat.

“Saya akan terus berperanan mendokong agenda reformasi yang perlu dibawa Pakatan Harapan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tan berkata beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan Menteri Besar Johor iaitu Datuk Osman Sapian yang telah memberikan peluang kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan kerajaan negeri, selama ini.

Katanya, sepanjang menerajui Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor selama 11 bulan, beliau telah berjaya merencana asas pelbagai agenda reformasi di peringkat Kerajaan tempatan termasuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Johor Bersih.

Jawatankuasa ini, katanya adalah untuk memastikan Johor bebas daripada sebarang pembuangan sisa secara haram. 

Selain itu, beliau telah mengambil beberapa langkah bagi mengawal dan mendepani krisis tapak pelupusan sampah di Johor Tengah dan Johor Utara.

Antaranya dengan mengkaji kebolehupayaan pelaksanaan projek perintis dalam menguruskan pelupusan sisa makanan yang berakhir di tapak pelupusan dan langkah mewujudkan sistem pengurusan secara setempat bagi mengurangkan kos pengangkutan penghantaran sisa buangan.

“Bagi Jawatankuasa Sains dan Teknologi pula, saya bersama anggota pentabdiran kerajaan negeri telah berusaha mewujudkan inisiatif berteraskan rendah karbon dan pendigitalan sebagai asas mendepani Revolusi Industri 4.0.

“Malah saya menubuhkan Majlis Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyelaras perkembangan dan projek yang berkaitan sains, teknologi dan inovasi di serata negeri Johor,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel