Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penyusunan portfolio Exco Johor untuk mantapkan pentadbiran


Tarikh kemaskini: 22/04/2019





ISKANDAR PUTERI, 22 April (Bernama) -- Penyusunan portfolio sebilangan besar Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk Menteri Besarnya Datuk Dr Sahruddin Jamal, dilihat sebagai usaha kerajaan negeri dalam memantapkan lagi pentadbirannya.

Pembaharuan itu diumumkan sendiri Dr Sahruddin sendiri dalam sidang media di sini, sebentar tadi. 

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata menerusi penyusunan semula itu, beliau turut memegang portfolio Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi negeri. 

Sebelum ini, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri. 

Selain itu,  penyusunan semula itu turut menyaksikan portfolio lima exco lama iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan; ADUN Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad; ADUN Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar; ADUN Bekok Dr S. Ramakrishnan dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, berubah.

Aminolhuda kini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, yang dahulu memegang portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri.

Sementara itu, Dzulkefly diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia manakala Mohd Khuzzan kini Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan.

Ramakrishnan dan Sheikh Umar pula, masing-masing diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawanan dan Koperasi.

Keempat-empat mereka sebelum ini memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar (Dzulkefly); Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan (Mohd Khuzzan); Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia Dan Perpaduan (Ramakrishnan); serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor (Sheikh Umar). 

Dua lagi exco lama iaitu ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse masih kekalkan dengan portfolio sama iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti.

Dr Sahruddin berkata tiga exco baharu iaitu Tosrin Jarvanthi, Tan Chen Choon dan Mohd Solihan Badri pula diberikan tanggungjawab mengisi portfolio sebagai Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Pengangkutan dan Infrastruktur.

Pemilihan Tan dan Mohd Solihan itu adalah sebagai menggantikan tempat ADUN Skudai Tan Hong Ping dan ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang yang digugurkan dari barisan exco negeri manakala Tosrin mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Dr Sahruddin. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel