Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina


Tarikh kemaskini: 21/04/2019





GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Konsulat Indonesia di Pulau Pinang menuntut penjelasan berhubung keputusan mahkamah menggugurkan kes melibatkan seorang pembantu rumah rakyat negara itu, Adelina Jerima Sau, 21, yang meninggal dunia dipercayai didera majikannya tahun lepas.

Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Iwanshah Wibisino berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi untuk berjumpa timbalan pendakwa raya (DPP) bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengapa kes itu digugurkan di mahkamah.

"Saya harap pertemuan itu dapat dibuat secepat mungkin kerana kami perlu memberi penjelasan kepada keluarga Adelina di Kupang, Nusa Tenggara Timur berhubung perkembangan kes tersebut dan mengapa ia digugurkan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan mahkamah menggugurkan kes itu bukan sahaja mengejutkan rakyat Indonesia, malah beliau percaya rakyat Malaysia juga berkongsi reaksi yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menghormati proses undang-undang di negara ini dan berharap Adelina mendapat keadilan sewajarnya. 

Jumaat lepas, media melaporkan bekas majikan pembantu rumah berkenaan, Ambika MA Shan, 61, terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini dilapor membebaskannya daripada tuduhan bunuh Adelina selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan  Tenaganita dan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) yang menuntut Peguam Negara Tommy Thomas mengkaji semula keputusan itu.

Kes penderaan terhadap Adelina pada tahun lalu mengejutkan negara apabila dia diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam dalam keadaan tidak bermaya selepas fotonya yang terbiar di luar rumah dirakam seorang jiran.

Ketika diselamatkan, Adelina didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.

Malah, mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing. Bagaimanapun, Adelina gagal diselamatkan selepas meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Anak Sarawak peroleh biasiswa wanita berprestij Jerman

 
     

KDM janjikan pengalaman digital, 'moh' datang ramai-ramai ke Ipoh

 
     

Saya diminta letak jawatan - Bekas pegawai bank Ambank

 
     

Kerajaan lulus RM34 juta untuk sambung bina rumah kedua generasi Felcra

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel