Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat


Tarikh kemaskini: 21/04/2019





SUNGAI PETANI, 21 April (Bernama) -- Takaful IKHLAS memperkenalkan ‘IKHLAS Waqf & Endowment’ (IWE) sebagai platform untuk peserta membantu masyarakat menerusi peruntukan wakaf atau endowmen setelah mereka meninggal dunia akibat kemalangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Eddy Azly Abidin berkata IWE mula diperkenalkan pada 1 April lepas dan ia merupakan satu inisiatif kemasyarakatan yang menggalakkan sumbangan sosial berterusan daripada peserta kepada masyarakat.

Beliau berkata peserta yang menyertai atau memperbaharui pelan perlindungan individu produk takaful am seperti IKHLAS Takaful Kenderaan, IKHLAS Takaful Kediaman atau IKHLAS Takaful Kemalangan Peribadi akan menerima manfaat IWE secara percuma.

“Peserta yang meninggal dunia akibat kemalangan ini akan diperuntukkan RM1,000 oleh syarikat untuk sumbangan wakaf atau endowmen atas nama peserta terbabit bagi setiap sijil produk takaful am yang dikeluarkan oleh Takaful IKHLAS. Jika peserta tersebut menyertai tiga pelan takaful am, maka jumlah wang yang akan disalurkan adalah sebanyak RM3,000,” katanya.

Eddy Azly berkata demikian pada sidang media bersempena pelancaran IWE pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 yang disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di sini hari ini.

Beliau berkata peserta juga boleh menambah jumlah wakaf atau endowmen dengan menyertai pelan perlindungan Kemalangan Peribadi dan memperuntukkan sehingga 30 peratus daripada manfaat kematian mereka kepada institusi wakaf atau endowmen yang dipilih Takaful IKHLAS.

Eddy Azly berkata IWE adalah satu nilai tambah unik yang akan terus meningkatkan posisi jenama Takaful IKHLAS supaya dapat berdaya saing dan memberikan lebih daripada perlindungan takaful.

“Dengan adanya wakaf atau endowmen ini, ia menjadikan perlindungan yang ditawarkan oleh Takaful IKHLAS lebih lengkap dan komprehensif,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pengunjung yang menyertai pelan perlindungan takaful keluarga semasa MSAM 2019 layak menyertai Cabutan Rezeki IKHLAS dan berpeluang memenangi hadiah utama iaitu produk unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bernilai RM5,500, RM4,500 atau RM3,500.

“Selain itu, pengunjung yang menyertai pelan perlindungan am Takaful IKHLAS pula berpeluang memenangi hadiah utama iaitu perlindungan kemalangan peribadi Takaful IKHLAS dengan jumlah dilindungi sebanyak RM500,000, RM300,000 atau RM200,000,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Negara kehilangan seorang ikon pengguna dan alam sekitar

 
     

Kerajaan PH sasar 10 tahun perbaiki kepincangan dalam negara

 
     

Hakim mesti buat keputusan tepat untuk badan kehakiman kembali dipandang tinggi - Peguam Negara

 
     

Penjawat awam Pahang terima bonus raya RM600

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel