Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah


Tarikh kemaskini: 21/04/2019





ALOR SETAR, 21 April (Bernama) -- Polis Kedah memberkas seorang lelaki dipercayai keldai dadah dan merampas 51 kilogram syabu bernilai kira-kira RM2.5 juta yang dibungkus di dalam beg serbuk teh Cina dalam operasi di kawasan letak kereta Plaza Tol Sungai Petani Utara, Sungai Petani, Khamis lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada 11.30 malam dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah. 

“Ketika dikesan, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan. Pemeriksaan fizikal terhadap suspek tidak menemukan barang yang salah namun pemeriksaan lanjut ke atas kereta Proton Pesona milik suspek menemukan dua buah beg mengandungi keseluruhan 50 bungkusan plastik mengandungi bahan dipercayai dadah jenis syabu. 

“Setiap bungkusan itu adalah seberat satu kilogram bernilai kira-kira RM50,000,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai dan masih bujang dipercayai menerima upah RM20,000 bagi setiap penghantaran.

“Suspek mungkin sedang tunggu orang untuk ambil dadah tersebut tapi kita masih jalankan siasatan,” katanya, menambah polis percaya dadah terbabit diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri-negeri utara Semenanjung.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu negatif dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Anak Sarawak peroleh biasiswa wanita berprestij Jerman

 
     

KDM janjikan pengalaman digital, 'moh' datang ramai-ramai ke Ipoh

 
     

Saya diminta letak jawatan - Bekas pegawai bank Ambank

 
     

Kerajaan lulus RM34 juta untuk sambung bina rumah kedua generasi Felcra

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel