Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai MA63 akan ditubuhkan - Liew


Tarikh kemaskini: 20/04/2019





SANDAKAN, 20 April (Bernama) -- Sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan ditubuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan melibatkan anggota Parlimen terpilih bagi melengkapkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai perkara sama.

“Kami (kerajaan Persekutuan) menyedari sebuah jawatankuasa melibatkan anggota Parlimen perlu bagi menjayakan pelaksanaan MA63.

“Pengerusi PSC itu nanti akan dijemput untuk menjadi anggota tetap Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyumbang kepada pelaksanaan MA63,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Iltizam 2019 Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura 2 di sini.

Liew melahirkan perasaan gembira terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang meluluskan usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan dewan itu baru-baru ini.

Beliau berharap langkah sama akan dituruti DUN Sarawak pada persidangan akan datang.

“Saya yakin DUN Sarawak akan mengambil langkah seperti DUN Sabah (menyokong pindaan).

“Saya juga akan berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu,” katanya.

Mengenai rakaman video prosiding perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditularkan, Liew percaya mahkamah berkenaan akan mengambil tindakan terhadap individu yang memuat naik video itu ke laman media sosial Facebook.

“Yang mengecewakan ialah video yang dimuat naik itu bukan gambaran sepenuhnya yang berlaku dalam mahkamah dan telah memberi ‘sense of false hope’ kerana telah disunting pendek,” katanya.

Semalam, video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi, menjadi tular menerusi media sosial.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Anak Sarawak peroleh biasiswa wanita berprestij Jerman

 
     

KDM janjikan pengalaman digital, 'moh' datang ramai-ramai ke Ipoh

 
     

Saya diminta letak jawatan - Bekas pegawai bank Ambank

 
     

Kerajaan lulus RM34 juta untuk sambung bina rumah kedua generasi Felcra

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel