Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

34 majikan dikompaun gagal daftar perusahaan, carum untuk pekerja


Tarikh kemaskini: 19/04/2019





BATU PAHAT, 19 April (Bernama) -- Sebanyak 34 majikan telah dikompaun oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Batu Pahat setelah didapati gagal mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja masing-masing melalui ‘Ops Kesan’ bermula 1 April lepas.

Pengurusnya, Suhara Mustaffa berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan gagal untuk mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, sebelum ini pihaknya telah menggesa majikan yang belum mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka supaya berbuat demikian sepanjang tempoh pemutihan yang bermula dari 1 hingga 31 Mac lepas.

“Sejak 1 April sehingga ke hari ini (semalam), operasi yang melibatkan 26 anggota ini telah melawat ke 217 premis perniagaan di sekitar bandar Batu Pahat, Yong Peng, Parit Sulong, Parit Yaani, Parit Raja dan Ayer Hitam,” katanya kepada pemberita semasa Ops Kesan Perkeso Batu Pahat di sekitar bandar Batu Pahat, di sini pagi tadi. 

Kata Suhara lagi, majikan yang gagal mendaftar perusahaan mereka, Perkeso telah mengenakan kompaun sebanyak RM14,000 manakala nilai kompaun kerana gagal mendaftar pekerja pula sebanyak RM80,000.

Menurutnya, kebanyakan majikan yang dikenakan tindakan adalah majikan-majikan dari sektor peruncitan seperti penjual kain baju, syarikat perkakasan dan pertukangan, kedai makan dan sebagainya.

“Sepanjang Ops Kesan ini juga, kami dapati terdapat 20 majikan yang layak berdaftar tetapi masih belum mendaftar kerana perusahaan baharu ditubuhkan atau pekerja baharu diambil bekerja.

Majikan-majikan seperti ini hanya dikeluarkan surat arahan dan lawatan susulan akan dilakukan dalam tempoh 14 hari dan notis yang dikeluarkan kepada majikan ini mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017,” katanya.

  -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel