Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk minta k'jaan negeri atasi masalah gajah liar masuk kampung


Tarikh kemaskini: 19/04/2019





Oleh Jamian Ahmad

KOTA TINGGI, 19 April (Bernama) -- Penduduk Kampung Lukut dekat sini mahu kerajaan  negeri  mencari jalan dan memandang serius isu gajah liar masuk kampung memusnahkan tanaman mereka.

Kata mereka ia bukan perkara baru dan kejadian terbaru berlaku malam tadi.

Tinjauan Bernama ke kampung itu malam tadi mendapati penduduk kampung menemui kesan kehadiran  gajah liar di kawasan sebuah rumah di Lorong Sahabat.

Seorang penduduk, Rozita Zamri, 51, mendakwa menyedari kehadiran seekor gajah berhampiran rumahnya pada kira-kira 11 malam.

Beliau beliau berkata beliau terdengar bunyi bising dari arah belakang rumah ketika sedang mencuci pinggan di dapur malam tadi.

"Bunyi macam ranting patah dipijak sesuatu membuatkan saya tak sedap hati dan berkata sendiri macam ada gajah (pijak ranting) saja. Rupanya memang betul," katanya ketika ditemui di rumahnya malam tadi. 

Tambah Rozita, beliau segera memanggil anak-anaknya ke luar rumah dan dalam samar cahaya bulan serta lampu luar, mereka nampak seekor gajah berada dalam jarak dua meter dari ruang dapur rumahnya. 

"Kami tak dapat buat apa-apa selain memerhati tingkah laku gajah tersebut dan berdoa minta ia pergi jauh. 

"Tak lama selepas itu, dia bergerak sedikit dari pokok pisang lalu mencabut sebatang pokok  kelapa yang berumur lebih kurang empat tahun di tepi rumah dan membawanya ke hujung semak di bahagian belakang rumah," jelasnya.

Rozita berkata beliau dan keluarga pernah mengalami pengalaman serupa kira-kira lima bulan lepas dan menyaksikan sendiri seekor gajah lalu di tepi rumahnya pada awal pagi.

Abang Rozita, Hazali Zamri yang tinggal di rumah sebelah turut terdengar bunyi bising itu dan menyedari kehadiran mamalia itu yang tingginya hampir sembilan meter sedang mencabut sebatang pokok kelapa dengan belalainya. 

Menurutnya, kejadian gajah liar masuk kampung memang kerap berlaku, terutama sejak akhir-akhir ini berikutan penghalauan gajah-gajah dari kawasan sekitar oleh pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) ke Hutan Simpan Panti, tempat terletaknya Santuari Gajah Kota Tinggi. 

Kampung Lukut yang terletak di kaki Gunung Panti hanya berjarak 10 kilometer dari tapak Santuari Gajah yang kini dalam fasa kedua pembinaannya. 

Beliau berharap kerajaan negeri segera mengambil perhatian tentang isu gajah masuk kampung dan memusnahkan tanaman yang sudah sekian lama berlarutan. 

"Memang setakat ini, gajah-gajah itu belum mengancam nyawa, cuma merosakkan tanaman orang kampung, tetapi ia cukup merisaukan dan menakutkan kami," katanya.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel