Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga balai bomba di Pengerang akan beroperasi sepenuhnya tahun ini


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





KOTA TINGGI, 14 April (Bernama) -- Tiga buah balai bomba di kawasan Pengerang, akan beroperasi sepenuhnya tahun ini, bagi menampung dan menghadapi risiko baru kesan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang sedang pesat dibangunkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof berkata pembinaan tiga balai bomba iaitu di Punggai, Sebana Cove dan Sungai Rengit yang kesemuanya dalam kawasan Pengerang akan berupaya memendekkan tempoh masa tindak balas di kawasan berkenaan apabila beroperasi sepenuhnya tahun ini.

"Kami menyedari menjelang 2020, penduduk di mukim Pengerang akan mencecah jumlah 227,079 orang dan tentunya segala perancangan turut berfokus bagi meningkatkan keupayaan pihak untuk bersiap siaga dalam semua hal.

"Buat masa ini, balai bomba yang terdekat adalah Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar yang mengambil masa hampir setengah jam untuk sampai ke kawasan Pengerang.

"Bila ketiga-ketiganya beroperasi, tempoh berkenaan boleh menjadi singkat kepada 10 minit atau kurang dari itu," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar ke tapak projek Balai Bomba Dan Penyelamat Punggai, Pengerang, di sini hari ini.

Amer berkata selain meningkatkan keselamatan dan penguatkuasaan, kedudukan balai-balai bomba berkenaan juga mengambil kira keperluan strategik bagi pihaknya menghadapi sebarang bahaya kebakaran, tumpahan bahan kimia atau kemalangan di penempatan penduduk.

Sehubungan itu, kerajaan juga turut menggalakkan penubuhan Bomba Komuniti yang bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan kepada ketibaan pihak JBPM, dalam memberi tindakan bantu mula jika komuniti berkenaan menghadapi sesuatu krisis atau bencana.

Ketika mengulas kejadian kebakaran dan letupan di PIC dua hari lepas, beliau berkata Petronas mempunyai pasukan bomba khasnya sendiri dan pihak JBPM hanya dipanggil untuk siasatan punca kejadian berkenaan.

"Dalam kejadian letupan dua hari lalu, Petronas berjaya mengawal kebakaran kerana mempunyai pasukan bomba sendiri yang terlatih, di mana mereka tahu untuk bertindak dengan tepat iaitu dengan menutup saluran gas serta membuat  penyejukan kerangka besi agar tidak merosakkan bangunan sehingga keadaan boleh menjadi lebih buruk dan tak terkawal.

"Saya juga difahamkan Petronas mempunyai 19 jentera yang lengkap, di samping pasukan penyelamat yang terlatih," tambahnya lagi. 

Menurutnya,  menjadi keperluan undang-undang melalui Akta 341 Perkhidmatan Bomba 1988 yang mesti dipatuhi oleh setiap kilang-kilang besar agar mempunyai Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) sendiri. 

Katanya mereka yang melangar peraturan berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak kurang lima tahun. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel