Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ketengahkan pelajar disleksia terokai sains - Dr Laili


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





KUALA TERENGGANU, 14 April (Bernama) -- Pelajar disleksia di negara ini berpotensi menjadi pakar dalam bidang sains dan teknologi sekiranya diberi peluang dan dipantau dengan cara yang betul.

Pengarah Pusat Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Laili Che Rose  berkata keyakinannya itu berdasarkan ciri-ciri keistimewaan yang dimiliki mereka terutama fokus dan ketelitian, yang berkemungkinan sama atau lebih baik daripada pelajar normal.

Justeru, beliau berkata UMT bersedia merangka satu kajian bersesuaian dengan mengambil beberapa  pelajar disleksia untuk dipantau dalam jangka masa tertentu bagi menilai tahap keupayaan mereka.

"Kanak-kanak disleksia ini dikatakan mempunyai daya fokus dan kecenderungan tinggi dalam satu-satu perkara yang dilakukan mereka.

"Jadi, kita akan beri mereka aktiviti 'hands on' secara berterusan untuk membuka minda dan boleh juga bawa mereka ke makmal di sekolah atau UMT untuk melihat projek atau sesuatu eksperimen dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran di sini semalam, yang merupakan program kerjasama antara Bernama Biro Terengganu dan UMT.

Seramai 50 pelajar UMT termasuk penuntut Pusat Asasi STEM menyertai CSR tersebut dan bergotong royong menceriakan kelas pelajar pendidikan khas di situ.

Dr Laili berkata sekiranya projek tersebut berjaya, ia secara tidak langsung akan membuka minda sesetengah masyarakat yang selama ini memandang rendah potensi pelajar yang bermasalah pembelajaran termasuk disleksia.

Universiti tersebut juga bakal mengkaji tentang faktor atau punca yang menyebabkan kecacatan atau masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak yang tertumpu pada satu-satu kawasan di negeri ini.

"Kita sebenarnya ada ramai pakar yang boleh menjalankan kajian berhubung pelbagai perkara dan UMT akan mengambil peranan untuk bantu, buka minda dan memberi peluang kepada pelajar golongan sebegini," katanya. 

Mengikut rekod, perkataan disleksia diambil dari bahasa Yunani iaitu ‘dyn’ (susah) dan ‘lexia’ (tulisan), iaitu kategori mereka yang mempunyai masalah pembacaan dan penulisan (mengira, mengeja, menulis) tetapi memiliki keupayaan berfikir lebih tinggi dengan orang yang seusia dengannya.

Disleksia juga bukanlah satu penyakit dan ramai di antara mereka berjaya menjadi tokoh terkenal termasuk Albert Einstein.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel