Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu bukti persefahaman, kerjasama kukuh PH


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





JOHOR BAHRU, 14 April (Bernama) -- Pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah bukti persefahaman dan kerjasama kukuh antara komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Pengarah Media Bersatu Johor Mohd Solihan Badri dalam mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr Sahruddin Jamal, turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Bersatu pusat.

“Ucapan terima kasih juga wajar dihulur kepada ketua-ketua komponen parti PH Johor kerana mencapai kata sepakat bahawa Menteri Besar Johor adalah dari Bersatu.

“Bersatu Johor juga yakin dan menaruh harapan yang tinggi ke atas keupayaan Dr Sahruddin untuk memimpin Johor sebagai sebuah negeri maju dan kubu kuat PH,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anggota  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu, kepimpinan  Bersatu peringkat bahagian harus memberi sokongan padu kepada Dr Sahruddin untuk melaksanakan tugasnya termasuk mengukuhkan parti.

Selain itu, Bersatu turut mengucapkan terima kasih  kepada Datuk Osman Sapian atas khidmat cemerlang sepanjang khidmatnya sebagai menteri besar pertama Pakatan Harapan. 

Antara jasa bekas Menteri Besar Johor ke-16 itu antaranya melaksanakan 10 janji 100 hari PH Johor, merangka pelan pembangunan jangka panjang untuk Johor (Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030) serta melupuskan hutang lapuk Kerajaan Negeri kepada Persekutuan sebanyak RM187 juta atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Selain itu, Osman turut menerajui usaha dalam memperluaskan lagi kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia ke daerah Kota Tinggi, Kluang dan Pontian bertepatan dengan misi mengembalikan Malaysia sebagai ”Asian Tiger”.

Beliau turut menjenamakan Unit Strategik Modal Insan Johor dengan mengadakan program Insan Johor 2019 sekaligus mengupayakan pendapatan kumpulan sasaran iaitu golongan B40 daripada kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU), Komuniti Orang Asli, Belia dan Ibu Tunggal.

Sementara itu, Mohd Solihan turut meminta segala serangan peribadi terhadap pemimpin kerajaan negeri dihentikan termasuk dari parti pihak pembangkang sebaliknya menyeru mereka bersama-sama membantu dan menyokong pelaksanaan pembangunan untuk kepentingan rakyat Johor. 

“Sebarang teguran membina harus disalurkan melalui cara yang betul dan elakkan daripada mengelirukan rakyat untuk kepentingan diri dan perjuangan sempit,” tambah beliau.

Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar  Johor yang ke-17 di Istana Bukit Serene, di sini, pagi tadi.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel