Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bayi perempuan 10 bulan maut dalam kemalangan 


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





JOHOR BAHRU, 14 April (Bernama) -- Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas kenderaan Perodua Kenari yang dinaikinya bersama tiga lagi anggota keluarga terlibat kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata Nur Auliya Inara Mohamad Nirzaudy Haiqal yang berada dalam tempat duduk bayi yang diletakkan di kerusi hadapan kereta itu, maut disebabkan kecederaan parah di kepala selain luka di badan dan kaki.

Kejadian pada 1.15 pagi itu turut mengakibatkan kecederaan parah kepada bapa dan ibu mangsa - Mohamad Nirzaudy Haiqal Abdullah, 29,  dan Wan Nur Izzaty Wan Mohd Zaffar, 22, yang kini sedang dirawat di wad Zon Merah, Hospital Sultanah Aminah (HSA). 

Seorang kakaknya iaitu Nur Auliya Maisara, dua tahun, pula sekadar cedera ringan di kaki kiri. 

Shahurinain berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan keluarga itu sedang menuju ke rumahnya di Taman Tampoi Utama dari Stulang Laut, sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Mercedes dari arah belakang.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar batu pembahagi jalan sebelum berpusing sejauh 30 meter dan terbalik di tengah jalan,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata mangsa meninggal dunia di Unit Kecemasan HSA semasa mendapatkan rawatan.

“Ujian air kencing telah dijalankan ke atas pemandu kereta Mercedes itu dan mendapati suspek negatif  semua jenis dadah.

“Namun suspek  berusia 43 tahun itu tetap ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dan menambah suspek tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan terbabit.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel