Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka tidak naikkan taraf air domestik tahun ini - Ketua Menteri


Tarikh kemaskini: 11/04/2019





MELAKA, 11 April (Bernama) -- Melaka tidak akan menaikkan kadar tarif air domestik di negeri itu tahun ini atau dalam masa terdekat kerana ia telah dinaikkan tiga tahun lepas, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata perkara itu telah diputuskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKNM) dan makluman tentang keputusan itu telah diserahkan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli baru-baru ini.

Beliau berkata kadar tarif air domestik sedia ada iaitu 60 sen untuk 20 meter padu sudah memadai dan ia dilihat agak tinggi berbanding kadar negeri lain.

"Kita tidak termasuk dalam enam negeri yang telah menyatakan keputusan mereka kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk menaikkan kadar tarif air di negeri mereka.

"Kita mengambil keputusan itu setelah melihat beberapa aspek termasuk ia baru dinaikkan tiga tahun lepas selain tidak mahu membebankan rakyat," katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Semalam Bernama melaporkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan enam negeri bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini, namun tidak menyatakan enam negeri tersebut.

Pada 28 Mac lepas, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan sebagai berkata tarif air sektor industri Melaka kekal pada kadar RM2 untuk 0 hingga 50 meter padu; antara 50 hingga 100 meter padu (RM2.05) dan RM2.15 untuk kadar penggunaan melebihi 100 meter padu.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri bercadang menjadikan dua kawasan tumpuan pelancongan iaitu Stadthuys dan Jonker Walk sebagai zon bebas kenderaan tahun ini.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew bagi pencapai kata putus dan persetujuan penduduk khususnya di kawasan Jonker Walk terhadap pelaksanaan itu.

"Sekiranya ia dipersetujui, usaha ini akan dilaksanakan selama sebulan sebagai tempoh percubaan dan ia akan menjadi pilot projek pelaksanaan zon bebas kenderaan di negeri itu untuk diperluaskan ke kawasan lain," katanya.

Katanya penutupan kawasan berkenaan untuk zon tersebut bertujuan menggalakkan penduduk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan yang mampu menarik kedatangan pelancong.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel