Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelawak tempatan cederakan pengawal keselamatn dibebas dengan jaminan polis


Tarikh kemaskini: 08/04/2019





SEREMBAN, 8 April (Bernama) — Seorang pelawak lelaki tempatan yang dikatakan mencederakan seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pertengkaran di Taman Acacia, Nilai, Sabtu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata, arahan itu dikeluarkan mahkamah selepas polis membuat permohonan untuk mendapatkan perintah reman pagi ini.

“Pelawak itu menyerah diri ke Balai Polis Nilai petang semalam dan pihak polis merakamkan keterangannya sebelum menahannya. Pagi ini, kita (polis) bawa lelaki itu ke mahkamah untuk memohon perintah reman namun mahkamah memerintahkan untuk dia dibebaskan dengan jamin.

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pelawak terbabit yang memakai kemeja dibawa dengan trak polis bersama tahanan lain tiba di Kompleks Mahkamah Seremban di sini, pada jam 8.30 pagi dan dibawa masuk ke Mahkamah Khas Reman untuk mendapatkan permohonan reman.

Sebelum itu, dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika hadir untuk memberi keterangan jam 5 petang semalam.

Mohd Nor Marzukee berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, pelawak itu yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Selepas itu pengawal keselamatan menutup palang pos keselamatan dan mengejar kereta lelaki terbabit. Selang beberapa minit dia ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

“Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik sahaja mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan dia menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel