Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RM316.9 juta untuk jalan luar bandar Sabah


Tarikh kemaskini: 07/04/2019





PENAMPANG, 7 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar terus memberi komitmen memperkasa lagi jaringan perhubungan kawasan luar bandar Sabah menerusi pelaksanaan sebanyak 81 projek pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB) di negeri itu melibatkan peruntukan RM316.9 juta pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata sebanyak tiga daripada projek itu telah disiapkan dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk kampung, 30 projek sedang dalam pembinaan, manakala selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya tiga projek JALB disiapkan itu ialah Jalan Ansip-Dalit-Kahaba di Keningau sepanjang 43 kilometer dan sebuah jambatan memanfaatkan 5,000 penduduk dari 11 kampung; Jalan Nibang di Pitas sepanjang 18.5 kilometer dan dua jambatan (memanfaatkan 3,000 penduduk dari 12 kampung); Jalan Rosok Ginapas, Kota Belud sepanjang tiga kilometer (memanfaatkan 1,000 penduduk).

"Jalan-jalan di Keningau, Pitas dan Kota belud ini memudahkan para penduduk kawasan luar bandar untuk berulang-alik menjalankan aktiviti harian yang sebelum ini tidak mempunyai jalan perhubungan lengkap dan belum berturap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan projek kerja-kerja pembaikan cerun dan kerja-kerja berkaitan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kampung Limbanak di sini, hari ini.

Selain pembangunan JALB Sabah, Rina berkata, kementeriannya juga telah mengenalpasti sebanyak 50 projek jalan perhubungan desa untuk dilaksanakan di negeri itu pada peringkat pertama tahun ini melibatkan peruntukan RM10 juta.

"Projek jalan perhubungan desa itu telah diluluskan dan dalam proses sebut harga. Pembinaan projek itu dijangka siap pada Jun 2019. Kementerian juga sedang mengenalpasti senarai jalan perhubungan desa yang akan dilaksanakan bagi peringkat kedua kelak mengikut keutamaan keperluan," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, sebanyak 44 program ameniti sosial juga akan dilaksanakan termasuk menaiktaraf serta membaik pulih masjid dan surau, dewan serbaguna, jambatan dan sistem perparitan di kawasan luar bandar Sabah melibatkan peruntukan RM6.47 juta.

Kesemua projek pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah itu akan dilaksanakan dan disiapkan pada tahun ini bagi memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut sekali gus memastikan keselesaan dan kesejahteraan mereka, katanya.

Mengenai projek kerja pembaikan cerun, Rina berkata, projek disiapkan pada November itu dilaksanakan bertujuan mengelak kejadian tanah runtuh daripada berlaku sekali gus memastikan keselamatan dua Tabika Kemas berhampiran yang mempunyai kira-kira 50 murid.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel