Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isteri lelaki tertanam di belakang rumah di Batu Pahat terima pampasan Perkeso


Tarikh kemaskini: 06/04/2019





BATU PAHAT, 6 April (Bernama) -- Isteri seorang lelaki yang mayatnya ditemui tertanam di belakang sebuah rumah di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, dekat Batu Pahat, 27 Mac lepas, menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustafa berkata, Suhaida Ahmad, 37, akan menerima dua jenis wang pampasan iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat.

Beliau berkata bagi bayaran FPM, waris kepada Orang Berinsurans (OB) bagi Zulkifli Musa, 37, adalah sebanyak RM2,000 manakala wang bagi Pencen Penakat yang akan dibayar setiap bulan itu jumlahnya masih dalam pengiraan pihak Perkeso.

“Untuk Pencen Penakat ini bayarannya mempunyai dua syer iaitu untuk isteri dan tiga anak bagi OB berkenaan, bayaran bagi isteri adalah seumur hidup dan untuk anak-anak adalah sehingga umurnya 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan wang pampasan berkenaan di kediaman Suhaida di Kampung Tambak, Peserai yang turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Azman Musa dan Wakil Biro Kebajikan, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Jati Batu Pahat (PKAAJ), Mohd Hamidi Mad Tap.

Sementara itu, Suhaida berkata setelah kematian Zulkifli, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, dia perlu menjadi ibu dan ayah kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia antara dua hingga lima tahun.

Katanya, dia sekeluarga juga hilang sumber pendapatan kerana sebelum ini hanya suaminya sahaja yang bekerja dan dia hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa menjaga anak-anaknya.

“Selepas ini, saya bercadang untuk berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara anak-anak dan saya berterima kasih kepada Perkeso kerana membantu kami,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota polis ditahan, pada 27 Mac lepas, selepas mayat Zulkifli ditemukan ditanam di belakang rumah anggota polis terbabit di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah.

Penemuan pada 5.30 petang itu adalah susulan laporan polis mengenai kehilangan Zulkifli pada 18 Mac lepas, yang dibuat Suhaida.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel