Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Larian amal T-Traordinary himpun 2,000 peserta dalam dekati golongan OKU


Tarikh kemaskini: 06/04/2019





JOHOR BAHRU, 6 April (Bernama) -- Larian amal ‘X-Traordinary Run’ anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersempena Program JB Wake Up! Car Free Day, di sini bagi mendekatkan orang ramai dengan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) hari ini, berjaya menghimpunkan seramai 2,000 peserta.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman berkata larian sejauh lima kilometer di kawasan pusat bandaraya bermula di hadapan bangunan MBJB itu diadakan dengan kerjasama Malaysian Medics International (MMI), Persatuan Sindrom Down Negeri Johor serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Johor.

“Kita buat sesuatu yang istimewa dengan mengadakan X-Traordinary Run ini bagi melibatkan orang ramai meraikan golongan OKU dan membantu individu sindrom down.

“Larian ini yang turut disertai pelajar sekolah dari 15 sekolah sekitar bandar raya ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat untuk bersama-sama OKU dan individu sindrom down khususnya membantu dan memberi sokongan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita selepas larian berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (Jasmine), Datin Nora Mohd Som.

Amran berkata selain larian, program terbabit turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM130,500 daripada Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Puspanita Johor, MMI, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Daerah Johor Bahru serta Persatuan Perkhidmatan Bandaraya Johor Bahru antaranya kepada Persatuan Syndrome Down Negeri Johor (RM40,000), Persatuan Pelajar Cacat Negeri Johor (RM5,000), Persatuan Cerebral Palsy (30,000).

Sementara itu, Pengerusi Puspanita Johor Datin Dr Noor Azizah Abdul Latiff berkata pihaknya berharap penganjuran larian seumpama itu mampu memberi pendedahan kepada orang ramai terhadap persatuan OKU di negeri ini.

“Menerusi penganjuran larian ini, masyarakat kita akan lebih peka bagaimana dikatakan sindrom down, cacat pendengaran atau cacat penglihatan sekali gus melahirkan rasa ingin menyumbang.

“Orang ramai yang ingin memberi sumbangan melalui Tabung Yayasan Bandaraya Johor Bahru  dialu-alukan berbuat demikian sehingga 30 April ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel