Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemeriksaan berkala kilang kelapa sawit tepi sungai di Johor bakal dipertingkat


Tarikh kemaskini: 05/04/2019





JOHOR BAHRU, 5 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mahu pemeriksaan berkala terhadap semua kilang kelapa sawit yang beroperasi di tepi sungai seluruh negeri ini dipertingkatkan bagi memastikan sisa pembuangan yang dilepaskan pihak itu, menepati standard ditetapkan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata arahan diberikan susulan berlakunya kes pencemaran sisa pembuangan dari kilang kelapa sawit di Sungai Sayong pada Rabu yang mengakibatkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA), ditutup.

“Kes ini berlaku kerana dikatakan terdapat kebocoran tetapi akibat kejadian, sejumlah masyarakat tidak mendapat bekalan air.  

Oleh itu, bagi memastikan kejadian tidak berulang, saya telah arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya melakukan tinjauan berkala secara lebih kerap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan rekod pihaknya, terdapat lebih daripada 60 kilang kelapa sawit beroperasi di kawasan tepi sungai, di seluruh Johor. 

“Sebenarnya, kebanyakan kilang kelapa sawit memang beroperasi di sepanjang sungai sebab mereka (pengusaha kilang) akan melepaskan sisa ke dalam sungai, namun kita perlu pastikan sisa yang dilepaskan itu mestilah mencapai tahap 1 atau 2. Jika tidak, mereka tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Rabu lepas, kira-kira 17,000 pengguna akaun SAJ Ranhill Sdn Bhd di Kulai mengalami masalah bekalan air berikutan pencemaran ammonia di Sungai Sayong.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata pencemaran berlaku disebabkan ban takungan di pusat bio-komposit bersebelahan sebuah kilang kelapa sawit di Sedenak pecah, lalu menyebabkan air mengandungi ammonia mengalir masuk ke Sungai Sayong.

Pencemaran kemudian telah mengakibatkan LRA Sayong 1 dan Sayong 2 ditutup pada 6.30 petang hari yang sama kerana kedua-dua loji tidak boleh memproses air mentah untuk dijadikan air terawat akibat kandungan ammonia yang tinggi.

Pada 5.30 pagi dan 11.30 pagi semalam pula, LRA Semanggar dan LRA Sungai Johor tidak dapat beroperasi kerana air mentah mengandungi ammonia  telah sampai ke loji-loji tersebut, sebelum disusuli penghentian kerja-kerja memproses air mentah di LRA Tai Hong pada 1.30 tengah hari.

Bagaimanapun, bermula lewat petang semalam, dua loji iaitu LRA Sayong 1 dan 2 serta LRA Semanggar telah beroperasi semula sepenuhnya manakala LRA Sungai Johor, beroperasi pada tahap 50 peratus daripada keupayaannya.

Satu lagi loji iaitu LRA Tai Hong masih ditutup.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel