Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ujian mamogram: LPPKN Sabah sasar 3,000 wanita


Tarikh kemaskini: 05/04/2019





KOTA KINABALU, 5 April (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah mensasarkan 3,000 wanita yang layak menjalani ujian mamogram akan menyertai program subsidi itu tahun ini.

Pemangku Pengarah LPPKN Sabah Suzanna Piny berkata penyertaan golongan wanita dalam program itu amat dialu-alukan dalam usaha meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penjagaan kesihatan payudara.

Suzanna berkata pemeriksaan itu dijalankan kepada wanita yang tidak mempunyai masalah tetapi berisiko, selain wanita yang mempunyai tanda atau masalah payudara juga akan dilakukan.

“Kadar radiasi x-ray adalah rendah dan tidak meningkatkan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita. Saya amat berharap agar program yang dilaksanakan ini akan memberi manfaat kepada wanita di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Kanser Program Subsidi Ujian Mamogram, di sini hari ini.

Beliau berkata mamogram merupakan kaedah saringan kanser payudara yang mampu mengesan penyakit itu dan terbukti apabila sembilan daripada 10 kes kanser payudara dapat dikesan melalui ujian mamogram.

Katanya, wanita yang memenuhi kriteria menerima subsidi ujian mamogram boleh menghubungi ataupun datang terus ke Klinik Nur Sejahtera Kota Kinabalu dan Klinik Nur Sejahtera Sandakan untuk membuat pendaftaran sekali gus mendapatkan tarikh janji temu bagi menjalankan ujian di pusat mamogram terpilih.

Program subsidi itu mengkhususkan kepada semua wanita warganegara Malaysia atau bertaraf penduduk tetap berumur 40 hingga 70 tahun layak menerima subsidi ujian mamogram secara percuma dan mestilah pendapatan isi rumah bawah RM10,000.00 sebulan. 

Manakala wanita yang berpendapatan melebihi RM10,000.00 dan ke atas akan diberi subsidi RM50.00 dan mestilah mempunyai kriteria risiko tinggi kanser payudara atau wanita yang dirujuk untuk ujian diagnostik mamogram.

Kriteria lain ialah wanita yang berusia 35 hingga 39 tahun dan mempunyai sejarah keluarga mendapat kanser payudara usia kurang 40 tahun dan telah mendapat saranan doktor menjalankan ujian mamogram.  

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel