zU_rw_f3Ltc Jenazah tiga pelajar dikebumi dalam satu liang lahad
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jenazah tiga pelajar dikebumi dalam satu liang lahad


Tarikh kemaskini: 04/04/2019





KOTA TINGGI, 4 April (Bernama) -- Jenazah tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, Felda Lok Heng, Kota Tinggi yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Felda Lok Heng, di sini.

Jenazah Mohamad Noriman Bastaman, 17, Daing Muhammad Afeeq Mohd Afeeq-ur Rahman, 16, serta Muhamad Syafawi Zayadi, 17, selamat dikebumikan pada 12 tengah hari tadi.

Sebelum itu, satu solat jenazah diadakan di surau sekolah mereka pada sebelah pagi dengan penyertaan kira-kira 1,000 orang.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor   Aminolhuda Hassan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Rosleli Jahari; Pemangku Pengarah Pelajaran Johor Azman Adnan dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohd Fadil Ishak.

Aminolhuda berkata solat jenazah diadakan selepas mendapat persetujuan keluarga semua mangsa.

“Atas usaha YB  Rosleli dan pihak Hospital Kota Tinggi, urusan bedah siasat ke atas ketiga-tiga jenazah pelajar berkenaan juga dapat disempurnakan lebih awal dan kesemua jenazah sempat dibawa pulang ke rumah masing-masing di Felda Lok Heng," katanya kepada Bernama sejurus selesai upacara solat itu di sini, hari ini. 

Tambahnya, kejadian semalam berlaku ketika semua mangsa bersama seorang guru mereka sedang dalam perjalanan pulang daripada menyertai aktiviti Pertandingan Petanque Peringkat Daerah di SMK Semenchu.

"Mereka bertiga dan seorang guru pengiring iaitu Cikgu Widyawati Simaran mewakili sekolah dalam Pertandingan Petanque Peringkat Daerah di sekolah terbabit,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa maut selepas kereta Proton Wira dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi di Simpang Lok Heng berdekatan Bandar Penawar di sini.

Kemalangan turut menyebabkan Widyawati, yang bersama mereka cedera manakala pemandu Perodua Myvi, Naziha Aqmaliah Mazlan, 24, patah kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel