Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya seekor kucing positif rabies - Veterinar Sarawak


Tarikh kemaskini: 04/04/2019





KUCHING, 4 April (Bernama) -- Hanya seekor kucing sahaja di Kampung Tambirat, Samarahan yang didapati positif jangkitan rabies, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak.

Pengarahnya Dr Adrian Susin Ambud berkata, kes berkenaan dilaporkan apabila seekor kucing terbiar dilanggar sebuah kenderaan dan telah mengigit pemandu kenderaan itu yang mahu menyelamatkannya.

“Kucing itu dihantar ke makmal JPV Sarawak dan ujian ke atas tisu otak kucing berkenaan mengesahkan ia dijangkiti rabies melalui Direct Flourecent Antibody Test (FAT).

“Pemandu tersebut pula telah diberikan suntikan anti-rabies dan rawatan selanjutnya di hospital berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini bagi mengulas laporan akhbar tempatan semalam mengenai kucing juga dikenal pasti sebagai punca merebaknya jangkitan rabies di kawasan tersebut.

Akhbar itu melaporkan sejumlah 70 kes gigitan kucing melibatkan manusia telah dilaporkan di Bahagian Samarahan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 82 kes sepanjang tahun lepas.

Rabies atau penyakit anjing gila telah menyebabkan 16 kematian di Sarawak sejak 1 Jul 2017.

Dr Adrian berkata sehingga awal bulan ini, 96 sampel otak anjing telah diuji dan 32 sampel didapati positif rabies manakala 13 sampel otak kucing telah diuji dengan sembilan didapati positif rabies.

Beliau turut menasihat pemilik haiwan untuk memvaksinkan haiwan peliharaan mereka, selain memandulkan dan mengurung haiwan peliharaan bagi mengekang penularan wabak rabies dalam tempoh ini.

“Penyakit rabies boleh merebak melalui gigitan dan cakaran haiwan yang dijangkiti virus rabies dan  orang awam hendaklah lebih berwaspada dan sekiranya terkena gigitan, luka perlu dicuci dengan air sabun selama 15 minit dan segera pergi ke klinik yang berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel