Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA mahu lebih ramai petani miliki sijil myGAP


Tarikh kemaskini: 03/04/2019





KOTA BHARU, 3 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mahu lebih ramai usahawan tani memiliki sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi memastikan produk yang dikeluarkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusinya Ishak Ismail berkata melalui pemilikan sijil tersebut petani akan dapat menghasilkan tanaman yang lebih berkualiti sekaligus boleh dijual dengan harga yang lebih baik.

"Kita galakkan petani mendapatkan sijil myGAP kerana mereka akan dibimbing oleh jabatan pertanian dalam menghasilkan produk pertanian yang berkualiti. Ia juga akan menaiktaraf petani biasa kepada petani yang lebih profesional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perjumpaan Pengerusi FAMA Bersama Peserta Ladang Kontrak Projek Agrotourism di Kampung Banggol di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri Ariffin Awang.

Ishak berkata setakat ini seramai 402 usahawan tani di Kelantan termasuk seorang usahawan tani dari ladang kontrak Kampung Banggol telah mendapat sijil myGAP dan pihaknya mensasarkan enam petani setahun akan mendapat sijil itu bermula tahun ini.

Dalam pada itu katanya FAMA mencatatkan belian sebanyak RM1.95 juta bagi ladang kontrak tanaman tembikai “jade dew” Kampung Banggol pada tahun lepas dan dijangkakan jumlah itu akan meningkat kepada RM2 juta tahun ini.

" Ini menunjukkan jika petani berganding bahu dan mengikuti semua nasihat daripada jabatan pertanian termasuk FAMA, kita yakin mereka mampu memperolehi peningkatan hasil yang lebih baik berbanding jika diusahakan secara bersendirian," katanya.

Katanya projek berkelompok dengan keluasan 24.3 hektar yang disertai 29 petani itu juga berjaya meningkatkan pendapatan petani sehingga 60 peratus dengan purata pendapatan sehingga RM40,000 semusim.

Beliau berkata tembikai jade dew yang ditanam secara berkelompok itu mendapat permintaan yang tinggi termasuk untuk pasaran luar negara seperti Singapura dan terbaharu Hong Kong.

Sementara itu ketua peserta Ladang Kontrak berkenaan, Mohd Noor Hassan, 69, berkata beliau menyertai Ladang Kontrak berkenaan sejak 2003 dan pendapatannya pada setiap musim penanaman sekitar RM40,000.

“Setakat ini baru saya sahaja yang mendapat myGAP dan Alhamdulillah dapat lebih sikit pendapatan bila dapat sijil ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua peserta Ladang Kontrak ini menanam tembikai untuk dua musim penanaman setahun dan mengucapkan terima kasih kepada FAMA yang membeli dan memasar buah tembikai di seluruh negara.

"Jika kami memasarkan sendirian dengan purata sebanyak 20 metrik tan buah, sememangnya kami tidak akan mampu berbuat demikian dan sebab itu kami sangat berterima ksih kepada FAMA,” katanya.

Mohd Noor berkata sebelum ini hidup peserta adalah susah dan kini telah berubah setelah menyertai Ladang Kontrak ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Karnival Amal Merdeka Kuala Pilah 2019 pada 23-25 Ogos

 
     

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel