Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RM3.15 juta bagi pastikan pencemaran Sungai Ulu Benut tidak berulang


Tarikh kemaskini: 03/04/2019





KLUANG, 3 April (Bernama) -- Kerajaan Pusat memperuntukkan RM3.15 juta diperuntukkan bagi memastikan tidak berlaku lagi sebarang limpahan dan air larut resap (leachate) ke Sungai Ulu Benut yang menjejaskan 75,000 penduduk Simpang Renggam dan kawasan sekitarnya.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata peruntukan berkenaan merangkumi pembinaan benteng di Sungai Ulu Benut dan penambahbaikan Loji Rawatan Leachate (LTP) di kawasan terbabit yang sebelum ini terjejas akibat operasi Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP 1, di Renggam, di sini.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dalam masa sama juga sudah mengarahkan penutupan segera operasi Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP 1 tersebut, mulai 26 Mac lepas, selepas berlakunya limpahan sisa dari tapak pelupusan sampah terbabit.

“Selepas ini tiada lagi sampah yang akan masuk ke Simpang Renggam dan ini adalah satu berita baik kepada rakyat Simpang Renggam setelah bertahun-tahun mengalami masalah terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP 1, Renggam, hari ini.

Maszlee yang juga Menteri Pendidikan berkata selain berpunca daripada tapak pelupusan sampah, pihaknya akan turut melakukan aktiviti mengenalpasti sumber-sumber pencemaran air yang lain seperti ladang-ladang ternakan ayam dan sisa kumbahan yang tidak dirawat dengan betul.

Katanya, kerjasama akan dilakukan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar sumber pencemaran air yang lain tersebut dapat diatasi.

“Mesyuarat kabinet baru-baru ini juga telah memutuskan bahawa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli  akan melakukan aktiviti pembersihan di Sungai Ulu Benut selain mendapat sokongan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Pada masa sama, Ranhill SAJ dan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) juga telah bersetuju agar sumber air mentah daripada Empangan Machap akan disalurkan terus ke Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam agar penduduk di kawasan ini tidak mengharapkan semata-mata sumber air daripada Sungai Benut,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel