Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesedaran untuk daftar sebagai pengundi di Kelantan masih rendah


Tarikh kemaskini: 03/04/2019





KOTA BHARU, 3 April (Bernama) -- Kesedaran rakyat Kelantan yang berumur 21 tahun ke atas untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi masih rendah di mana 167,000 orang yang layak sebagai pemilih masih belum berbuat demikian.  

Pengarah SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata jumlah itu sebahagian daripada 3.7 juta rakyat di seluruh negara yang belum mendaftar dan majoritinya adalah berbangsa Melayu.

“Antara faktor yang menyebabkan ianya berlaku  kerana tahap kesedaran masih rendah termasuk di kalangan pegawai berjawatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Amalan Berdemokrasi Parlimen Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini. 

Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Azhar Ismail, Pendaftar Akademi Pilihan Raya Nik Aminudin Nik Shahar Shah dan Pengetua SMK Pengkalan Chepa Datin Dyuhiza Anwar.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia negeri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) negeri berkenaan disertai seramai lebih 700 pelajar dari 80 buah sekolah seluruh negeri yang turut menyertai simulasi pengundian dan penamaan calon selain ceramah mengenai proses pilihan raya dinegara ini. 

Fakhrul Razi turut berkata, ada juga setengah pihak tidak mendaftar dengan alasan tidak mahu masuk campur dalam politik, sedangkan politik adalah sebahagian daripada kehidupan  dan tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan seharian. 

“Antara usaha untuk meningkatkan jumlah pengundi di negeri ini SPR negeri telah merangka beberapa program termasuk program turun padang untuk 15 Parlimen dan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga sudah memperbanyakkan pelantikan Penolong Pendaftar Pemilih Sementara yang terdiri daripada wakil jabatan dan ngo swasta termasuk majlis perwakilan pelajar universiti.

“Dalam masa sama, saya turut memberi cadangan agar khutbah khas pada hari Jumaat bagi menyedarkan semua masyarakat supaya mendaftar,” katanya. 

“Bagi penganut lain, kita akan memaklumkan kepada pusat-pusat ibadat mereka untuk memberi pendedahan kepada penganut mereka kepentingan mengundi dan mendaftar sebagai pengundi,”katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata SPR kini sedang membangunkan sistem pendaftaran secara atas talian dan pada Julai nanti seluruh SPR di peringkat negeri akan melancarkan sistem berkenaan. 

“Dengan adanya sistem pendaftaran atas talian ini, saya yakin dan percaya ianya membolehkan generasi muda yang celik IT mendaftar bila-bila masa sekali gus dapat mengurangkan angka mereka yang tidak mendaftar,’ katanya. 

Untuk rekod, sehingga kini seramai 1.049 juta pengundi yang telah mendaftar di negeri ini. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel