Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tatiuc tawar biasiswa Terengganu Sejahtera sebanyak RM3.1 juta


Tarikh kemaskini: 01/04/2019





KUALA TERENGGANU, 1 April (Bernama) -- Kolej Universiti TATI (Tatiuc), sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri Terengganu menawarkan biasiswa berjumlah RM3.1 juta kepada pelajar baharu untuk kemasukan Mei dan September tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Biasiswa Terengganu Sejahtera itu membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat asasi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat.

"Nilai biasiswa ini adalah sebanyak RM11,045 (seorang) sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian dan penginapan di kolej kediaman. 

Lebih istimewa, 100 pelajar terawal yang layak juga ditawarkan elaun sara hidup sebanyak RM323 sebulan. Jadi, saya berharap agar anak Terengganu segera memanfaatkan peluang ini untuk meneruskan pengajian di Tatiuc secara percuma," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Rektor Tatiuc, Profesor Dr Anuar Ahmad.

Ketika ini, Tatiuc menawarkan tiga program sarjana, 10 program ijazah sarjana muda, 13 program diploma dan dua program asasi dalam pelbagai bidang antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik.

Sementara itu, Anuar berkata selain biasiswa untuk peringkat asasi, Tatiuc turut menyediakan elaun sara hidup kepada pelajar diploma sebanyak RM200 sebulan, iaitu RM4,800 sepanjang tempoh pengajian.

"Manakala pelajar ijazah sarjana muda pula akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM250 sebulan bersamaan RM8,000 sepanjang pengajian, malah yuran pengajian juga akan dikurangkan untuk pelajar daripada keluarga golongan B40.

Seramai 1,100 pelajar baharu bagi sesi pengajian 2019/2020 dijangka menerima manfaat daripada biasiswa ini nanti," katanya.

Sehubungan itu, pelajar yang berminat boleh membuat permohonan untuk mendapatkan Biasiswa Terengganu Sejahtera dengan menghubungi talian 09-8601130 atau melayari www.tatiuc.edu.my untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel