Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JKKP periksa 22 tapak pembinaan di Kelantan


Tarikh kemaskini: 01/04/2019





KOTA BHARU, 1 April (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan mengenakan 186 tindakan punitif termasuk 51 notis larangan serta-merta ke atas kontraktor dalam Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh di Tapak Pembinaan yang bermula 4 Mac lalu.

Timbalan Pengarahnya Haizul Afta Masri berkata tindakan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 22 daripada 146 tapak pembinaan di Kelantan.

Selain itu, JKKP Kelantan mengeluarkan  57 notis penambahbaikan dan 78 surat arahan di samping mengambil tindakan menyita  38 aktiviti kerja yang dikenakan tindakan kompaun selain turut didakwa di mahkamah.

"Operasi kali ini lebih menumpukan kepada aktiviti berisiko tinggi seperti kerja-kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di kawasan pembinaan.

"Berdasarkan rekod pada 2016 hingga 2018, kemalangan membabitkan pekerja jatuh banyak berlaku melibatkan aktiviti kerja di tempat tinggi dengan lapan kes kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh di Lembah Sireh di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Haizul Afta berkata sepanjang tempoh tiga tahun sebelum ini, sebanyak 60 kes melibatkan pelbagai kesalahan direkodkan termasuk pelanggaran undang-undang di tapak pembinaan dengan kompaun bernilai RM141,800 dikenakan.

"Operasi yang dijalankan adalah secara mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan bagi memastikan tahap pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967 dikuatkuasakan.

"Ia juga bagi meninjau tahap keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kontraktor dalam memastikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan," katanya.

Beliau berkata antara punca kemalangan di tapak pembinaan ialah lubang yang tidak ditutup, tiada penghadang di tempat tinggi serta besi perancah yang dipasang tidak kukuh.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel