Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bauksit: penduduk harap mimpi buruk tidak berulang dengan SOP baharu


Tarikh kemaskini: 31/03/2019





KUANTAN, 31 Mac (Bernama) -- Susulan penambahbaikan yang diusahakan kerajaan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan dan pengeksportan bauksit, rata-rata penduduk sekitar Kampung Selamat yang terletak sekitar 6km dari Pelabuhan Kuantan berharap agar bahana pencemaran sekitar yang pernah dialami kawasan itu, tidak berulang kembali.

Rata-rata kalangan mereka masih belum dapat melupakan pengalaman 'bergelumang' dengan habuk merah dan deruan lori bauksit yang menjadi 'halwa telinga' sepanjang hari.

Seorang penduduk Rosdi Mustafa, 42, mendakwa aktiviti pengangkutan bauksit di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan anaknya Putri Nurmia Qaisara, 7, mengalami masalah pernafasan sehingga pernah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, dipercayai akibat debu dibawa lori bauksit. 

"Anak sentiasa keluar masuk klinik dan hospital selain pernah ditahan selama seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Rumah kami di tepi laluan lori yang mahu keluar masuk pelabuhan, dan tahu sahajalah bagaimana pencemaran debu daripada lori bauksit itu,” katanya semasa ditemui Bernama di sini hari ini.

"Doktor ada menyarankan supaya kami berpindah ke tempat lain bagi mengelakkan kesihatan anak terus merosot apabila dimaklumkan kami berdepan masalah debu bauksit... tapi ke mana kami mahu berpindah kerana sudah 19 tahun menetap di sini," tambahnya.

Kerungsingan berkaitan debu merah juga menyelubungi peniaga Fauziah Hussin, 50, kerana kedai makan yang diusahakannya sejak 14 tahun lalu terletak di laluan lori bauksit, selain juga berhampiran dengan kawasan kuari. 

Katanya habuk di kedai yang sebelum ini hanya berpunca dari kawasan kuari, menjadi bertambah lebih buruk disebabkan debu bauksit yang dibawa oleh terlalu banyak jumlah lori yang berulang-alik di kawasan berkenaan.

"Memang jika diikutkan aktiviti ini akan menjana ekonomi kami di kampung ini, terutama kedai makan kerana pemandu lori akan menyinggah, tetapi ia amat memenatkan dan kos pula bertambah kerana debu bauksit susah dihilangkan, kami perlu basuh semua barang," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di situ Abd Aziz Manap, 43, berkata rata-rata penduduk di situ tidak bersetuju jika aktiviti perlombongan bauksit disambung memandangkan tempoh moratorium sudah berakhir. 

Abd Aziz berkata walaupun tiada aktiviti perlombongan dijalankan di kampung itu, namun kesannya tetap turut dirasai jua kerana bauksit yang hendak dieksport ke luar negara perlu dibawa ke Pelabuhan Kuantan, menggunakan laluan di kawasan itu. 

"Masalah yang berlaku bukan hanya melibatkan masalah kesihatan, tapi juga keselamatan kerana pemandu lori bauksit lazimnya memandu dengan laju kerana mengejar kekerapan perjalanan. Sedangkan jalan di sini adalah sempit dan merupakan laluan utama penduduk kampung termasuk untuk menghantar anak ke sekolah," katanya. 

Abd Aziz berkata walaupun beliau ada mendengar berita bahawa SOP baharu menetapkan laluan lori bauskit tidak boleh melalui kawasan perumahan atau lokasi tumpuan, namun kebimbangan itu tetap ada. 

Ini kerana menurut beliau, berdasarkan pengalaman lalu pemandu lori lebih suka menggunakan laluan di situ kerana jarak lebih dekat sekaligus membolehkan mereka meningkatkan kekerapan perjalanan ke pelabuhan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel